Anak syarikat EMCC peroleh RM40 juta menerusi terbitan RCPS-i bagi biayai perniagaan pajak gadai Islam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat EMCC peroleh RM40 juta menerusi terbitan RCPS-i bagi biayai perniagaan pajak gadai Islam

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 24 Julai – Evergreen Max Cash Capital Bhd (EMCC) berkata, anak syarikat milik penuhnya, Evergreen Cahaya Holdings Sdn Bhd (ECH), akan memperoleh dana sebanyak RM40 juta melalui terbitan saham keutamaan boleh tebus boleh tukar Islamik (RCPS-i) kepada DPK Private Equity Sdn Bhd (DPKPE).

 

Dalam satu kenyataan kepada media, EMCC berkata RCPS-i tersebut akan diterbitkan pada harga RM1 seunit, dengan tempoh matang sehingga lima tahun dan kadar dividen keutamaan yang dijangka sebanyak 8.5% setahun, tertakluk kepada keuntungan yang tersedia.

 

Hasil daripada terbitan tersebut akan digunakan untuk membiayai operasi Ar-Rahnu Tawarruq (pajak gadai Islam) yang dikendalikan oleh ECH dan anak-anak syarikatnya.

 

Di bawah perjanjian itu, DPKPE mempunyai pilihan untuk menukar RCPS-i kepada saham biasa dalam ECH atau menebusnya semula pada kadar 1.6 kali harga langganan.

 

Selain itu, satu opsyen jual (put option) turut diberikan kepada DPKPE untuk menjual semula RCPS-i atau saham yang telah ditukar kepada EMCC, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

 

ECH, yang diperbadankan pada Disember 2024, merupakan anak syarikat milik penuh EMCC dan terlibat secara khusus dalam perniagaan pajak gadai berlandaskan prinsip Syariah.

 

EMCC turut memaklumkan bahawa dana yang diperoleh akan digunakan bagi menyokong pengeluaran pinjaman di bawah perniagaan Ar-Rahnu yang semakin berkembang, dengan hasil sementara akan ditempatkan dalam pelaburan patuh Syariah. - DagangNews.com