Anak pengasas Top Glove, Lim Jin Feng dan Ng Yong Lin dilantik sebagai Pengarah Urusan Bersama Kumpulan berkuat kuasa 1 April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak pengasas Top Glove, Lim Jin Feng dan Ng Yong Lin dilantik sebagai Pengarah Urusan Bersama Kumpulan berkuat kuasa 1 April 2026

Lim Jin Feng (kiri) dan Ng Yong Lin (kanan)
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Mac – Top Glove Corporation Bhd mengumumkan perubahan kepimpinan tertingginya apabila Pengarah Urusan kumpulan Lim Cheong Guan akan bersara hujung bulan ini sebagai sebahagian daripada pelan peralihan dan penggantian yang telah dirancang.

 

Lim akan menamatkan perkhidmatannya dalam jawatan tersebut pada 31 Mac 2026 selepas 20 tahun berkhidmat dalam Lembaga Pengarah syarikat. 

 

Bagaimanapun, beliau tidak meninggalkan kumpulan sepenuhnya dan akan terus menyumbang khidmat sebagai Pengarah Korporat berkuat kuasa 1 April 2026 dalam kapasiti pengurusan kanan.

 

Menurut syarikat, sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelbagai latihan korporat dan inisiatif pengumpulan dana yang menyokong pertumbuhan serta peluasan operasi kumpulan. 

 

Beliau turut memperkukuh amalan tadbir urus korporat dan agenda kelestarian, selaras dengan jangkaan pemegang taruh dan piawaian terbaik industri.

 

Selain itu, beliau juga memperkasakan fungsi Perhubungan Pelabur sehingga meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti Top Glove di peringkat global, sekali gus menyumbang kepada pelbagai pengiktirafan industri yang diterima syarikat. 

 

Lim menyertai syarikat pada 2005 sebagai Pengawal Kewangan, dilantik sebagai Pengarah Eksekutif pada 2006 dan seterusnya memegang jawatan Pengarah Urusan pada 2022.

 

Sebagai sebahagian daripada pelan penggantian kumpulan, dua pemimpin dalaman akan mengambil alih jawatan tersebut secara bersama mulai 1 April 2026 menerusi struktur Pengarah Urusan Bersama.

 

Anak pengasas Top Glove yang ketika ini memegang jawatan sebagai Pengarah Pemasaran, Lim Jin Feng akan dilantik sebagai Pengarah Urusan Bersama. 

 

Jin Feng adalah anak lelaki tunggal kepada pengasas Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai yang memegang kira-kira 37.9% kepentingan dalam Kumpulan.

 

Sepanjang 15 tahun bersama kumpulan, beliau memiliki pengalaman merentas fungsi termasuk jualan dan pemasaran, pembuatan serta sumber manusia, selain menerajui pelbagai inisiatif strategik syarikat.

 

Selain Jin Feng, Wee Chai juga mempunyai seorang anak perempuan Lim Ping Jun yang tidak memegang sebarang jawatan dalam pengurusan kanan atau lembaga pengarah syarikat.

 

Turut dilantik sebagai Pengarah Urusan Bersama ialah Ng Yong Lin yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif.

 

Beliau mempunyai hampir 17 tahun pengalaman dalam operasi pembuatan dan sebelum ini mengawasi ekosistem pembuatan pelbagai negara kumpulan, dengan fokus kepada peningkatan produktiviti serta kecekapan operasi.

 

Sementara itu, Wee Chai berkata, pihak lembaga merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan dedikasi Lim Cheong Guan yang telah memperkukuh asas syarikat dan meletakkannya pada kedudukan kukuh untuk pertumbuhan berterusan.

 

“Gabungan kepakaran Ng Yong Lin dan Lim Jin Feng diyakini mampu memacu kumpulan dalam landskap perniagaan yang semakin mencabar, sekali gus memastikan kesinambungan kecemerlangan dan penciptaan nilai kepada pemegang taruh,” katanya. - DagangNews.com