AMLA: Institusi kewangan wajib sediakan notis bertulis nyatakan sebab penutupan akaun, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AMLA: Institusi kewangan wajib sediakan notis bertulis nyatakan sebab penutupan akaun, Parlimen diberitahu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Okt - Semua institusi kewangan diwajibkan mengeluarkan notis bertulis kepada pemegang akaun yang terjejas atau ditutup atas syak terbabit dalam pengubahan wang haram.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, notis itu perlu disertakan dengan sebab penutupan akaun tanpa mendedahkan maklumat sensitif siasatan (bagi mengelakkan ‘tipping-off’). 

 

"Notis ini juga perlu menerangkan hak pemegang akaun untuk mengemukakan rayuan, termasuk saluran rayuan yang tersedia, tempoh masa yang diperuntukkan, serta proses yang perlu diikuti untuk mengemukakan permohonan rayuan. 

 

"Melalui pendekatan ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dapat menyeimbangkan antara keperluan pencegahan aktiviti pengubahan wang haram dan perlindungan hak pemegang akaun daripada tindakan penutupan akaun dengan sewenang-wenangnya," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Hui Ying menjawab soalah Teresa Kok (PH-Seputeh) yang bertanya tentang langkah kerajaan memperkemas koordinasi antara bank, Bank Negara dan agensi penguatkuasa bagi mempercepat proses pengendalian rayuan akaun bank yang ditutup kerana disyaki terbabit dalam kegiatan melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) supaya prosedur yang lebih telus, berkesan dan tidak membebankan pemegang akaun boleh diwujudkan.

 

Beliau menambah, kerajaan komited dalam memastikan segala proses pengendalian rayuan akaun bank yang ditutup atas syak pengubahan wang haram dilaksanakan dengan lebih telus, berkesan, dan tidak membebankan pemegang akaun. 

 

Katanya, beberapa langkah telah diambil untuk memperkemas koordinasi antara institusi kewangan, BNM dan agensi penguatkuasa termasuk mengeluarkan satu protokol untuk rujukan industri pada 1 Julai 2024.

 

"Protokol ini bertujuan untuk memastikan semua institusi kewangan mempunyai rujukan yang seragam apabila melaksanakan pelaporan, pengendalian, dan rayuan akaun yang disyaki sebagai akaun keldai. 

 

"Protokol ini turut merangkumi integrasi proses dan tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta institusi kewangan bagi memastikan pelaksanaan yang bersepadu dan berkesan," katanya.

 

Menurutnya, di bawah protokol ini institusi kewangan diwajibkan untuk menyemak status kes terkini sebagai pertimbangan utama sebelum melaksanakan tindakan susulan seperti pemutihan, penyahsenaraian (delisting) atau pemulihan akaun.

 

Hui Ying berkata, BNM juga sentiasa memantau amalan pihak industri kewangan dalam menyelesaikan aduan pengguna kewangan bagi memastikan pengadu diberi layanan yang adil. 

 

Katanya, pemegang akaun boleh mengemukakan aduan mereka kepada Unit Aduan institusi kewangan berkenaan bagi mendapatkan maklum balas dan keputusan muktamad mengenai aduan tersebut. 

 

"Sekiranya pemegang akaun tidak bersetuju dengan tindakan pemulihan yang diambil terhadap kes tersebut, kes berkenaan boleh dirujuk kepada Pusat Khidmat Pelanggan, Laman Informasi Nasihat dan Khidmat Bank Negara Malaysia (BNMLINK), dan seterusnya kepada Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS), jika wajar," katanya. - DagangNews.com