AmInvestment positif kontrak terbaharu Keyfield, tunjuk trend stabil kadar sewa kapal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment positif kontrak terbaharu Keyfield, tunjuk trend stabil kadar sewa kapal

Gambar Keyfield International
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Sept - AmInvestment Bank melihat kontrak terbaharu yang diraih Keyfield International Bhd daripada Petronas Carigali secara positif kerana ia menunjukkan trend yang stabil dalam kadar sewa harian (DCR).

 

Firma penyelidikan itu seterusnya berpendapat Keyfield sebagai proksi utama kepada sektor kapal sokongan luar pesisir (OSV) dengan campuran kapal bot kerja penginapan (AWB) dan kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) yang menguntungkan. 

 

"Walaupun harga saham kumpulan telah meningkat sebanyak 156% setakat ini, kami percaya masih ada potensi kenaikan lanjut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

AmInvestment kemudian mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Keyfield International dengan nilai wajar RM3.25 sesaham.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keyfield terima anugerah pesanan kerja daripada Petronas Carigali bernilai RM130 juta

 

Kata firma penyelidikan itu, peserta pasaran sebelum ini telah menyatakan kebimbangan mengenai kelestarian kadar DCR dalam jangka pendek memandangkan pertumbuhannya yang ketara dalam dua tahun lepas.

 

"Kami perhatikan kadar DCR yang ditetapkan adalah sebahagian besarnya dalam jangkaan dan konsisten dengan kemenangan kontrak kumpulan setakat ini. 

 

"Ingat bahawa ramalan penuh tahun kami berasaskan kadar DCR campuran antara RM89,000 hingga RM95,000 untuk kapal sendiri, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh sewa jangka panjang yang telah ditetapkan pada kadar yang lebih rendah sejak awal tahun.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan bahawa subsektor ini mungkin melihat tahap DCR kekal stabil dalam 3 tahun akan datang berikutan keadaan pasaran bekalan yang terhad," jelasnya.

 

Keyfield International menerusi anak syarikat penuh miliknya, Keyfield Offshore Sdn Bhd (KOSB) semalam memaklumkan menerima lapan anugerah pesanan kerja (WOA) daripada Petronas Carigali Sdn Bhd yang dianggarkan bernilai kira-kira RM130.3 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Keyfield berkata, WOA itu dikeluarkan Petronas Carigali selaku penyewa antara bulan Jun hingga Ogos 2024 untuk penyediaan enam unit AWB dan dua unit AHTS bagi aktiviti luar pesisirnya.- DagangNews.com