KUALA LUMPUR 3 April — Kontrak projek pengangkutan bas untuk sistem transit pantas (RTS) Link yang bernilai sehingga RM190 juta setahun dilihat berpotensi meningkatkan lagi hasil HI Mobility Berhad.
Menurut AmInvestment Bank (AmInvest), tender itu diyakini menjadi pemangkin utama pertumbuhan seterusnya bagi kumpulan tersebut, yang berupaya meningkatkan pendapatan masa depan sehingga 10%.
Justeru, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat itu dan harga sasaran (TP) RM3.60, bersandarkan penilaian 20 kali unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PE) pada FY28.
"Angka tersebut mencerminkan potensi kenaikan sekitar 89% daripada harga semasa saham HI Mobilty yang ketika ini berlegar RM1.90 selepas pernah mencecah RM2.88," katanya dalam nota analisis.
AmInvest menambah, prestasi kewangan FY26 sejajar jangkaan dengan keuntungan bersih teras RM56 juta, naik 28% tahun ke tahun (YoY), dipacu pertumbuhan kukuh segmen perkhidmatan bas berjadual.
Jelas firma penyelidikan tersebut, pertumbuhan positif berkenaan turut disokong peningkatan jumlah penumpang serta kekerapan perjalanan harian bagi laluan domestik dan rentas sempadan ke Singapura.
Operasi bas teras kekal berdaya tahan, dengan 98% armada HI Mobility layak menerima subsidi bahan api, sekali gus mengurangkan impak turun naik harga minyak terhadap margin dalam jangka pendek.

"Bagaimanapun, perubahan dasar subsidi kerajaan pada masa hadapan kekal sebagai risiko utama kepada kos operasi kerana bahan api masih merupakan komponen kos yang signifikan," kata AmInvest.
Selain pertumbuhan kumpulan berkenaan secara organik, potensi kontrak pengagihan RTS mulai tahun depan dilihat sebagai pemacu tambahan yang belum diambil kira sepenuhnya dalam unjuran semasa.
Sebelum ini, firma itu hanya mengambil kira pertumbuhan sederhana 6% dalam jumlah penumpang rentas sempadan dengan kadar penggunaan 80%, namun kontrak baharu ini akan meningkatkan lagi pendapatan.
HI Mobility juga mencatat peningkatan buku tempahan kepada RM360 juta, naik 35% YoY, didorong aliran hasil bernilai tinggi seperti pajakan bas, perisian dan perkhidmatan sokongan operator.
"Di samping itu, anak syarikatnya, Acacia berpotensi menambah RM100 juta dalam buku tempahan, tidak termasuk peluang menerusi projek bas elektrik (EV) yang berskala besar," jelas firma itu.
AmInvest berpandangan saham syarikat itu didagangkan pada penilaian menarik yang dianggap rendah berbanding rakan serantau dalam sektor pengangkutan awam dan Mobility-as-a-Service (MaaS).
Secara keseluruhan, gabungan operasi teras, peningkatan kualiti buku tempahan dan potensi kontrak RTS menjadikan prospek pertumbuhan HI Mobility kekal positif dalam jangka sederhana. - DagangNews.com








