Ambest lancar IPO di Pasaran ACE, sasar kumpul RM27.5 juta pada harga 25 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ambest lancar IPO di Pasaran ACE, sasar kumpul RM27.5 juta pada harga 25 sen sesaham

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 JanAmbest Group Berhad melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, yang dijadualkan pada 6 Februari 2026.


Kumpulan penyedia sokongan kejuruteraan industri semikonduktor itu menetapkan harga IPO pada 25 sen sesaham, dengan melibatkan terbitan secara keseluruhan yang berjumlah 110 juta saham baharu.


Ia berhasrat mengumpul hasil kasar kira-kira RM27.5 juta, dan berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 510 juta saham, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sekitar RM127.5 juta.


"Saham syarikat ini turut diklasifikasikan sebagai patuh Syariah dan boleh dibeli pelabur beragama Islam," kata Ambest yang berpangkalan di Pulau Pinang dan ditubuhkan pada 2011, melalui kenyataan hari ini.


Tambahnya lagi, kumpulan berkenaan memberi tumpuan yang lebih kepada perkhidmatan kejuruteraan berketepatan tinggi, khususnya pemesinan pelbagai komponen tersuai untuk pengeluar semikonduktor.


Keupayaan pembuatannya itu, turut disokong oleh sejumlah 44 mesin pengilangan kawalan berangka komputer (CNC), serta dua mesin pelarik CNC, selain fabrikasi kepingan logam melalui subkontraktor terpilih.


Pengarah Urusan Ambest, Tan Beng Beng berkata, sebahagian besar daripada hasil IPO, iaitu RM12 juta atau 43.6%, akan digunakan bagi bayaran balik pinjaman berkaitan pengambilalihan fasiliti di Bayan Lepas. 


"Selain itu, RM3.9 juta (14.2%) diperuntukkan untuk pembelian dua mesin baharu berteknologi tinggi, termasuk mesin CNC lima paksi, yang meningkatkan kapasiti operasi tahunan sekitar 4%," katanya.


Di samping itu, tambahnya, Ambest turut merancang untuk memperluaskan fasiliti dengan menambah satu tingkat baharu dan membina bilik bersih tambahan bagi menyokong pertumbuhan secara jangka panjang.


Sementara sejumlah RM6.8 juta (24.7%) kata Beng Beng, akan digunakan oleh kumpulan itu sebagai modal kerja, manakala RM4.8 juta (17.5%) diperuntukkan bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.


Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei berkata, segmen sokongan kejuruteraan terus disokong oleh permintaan stabil daripada sektor pembuatan, khususnya yang memerlukan ketepatan.


Sebahagian besar pelanggan memerlukan piawaian berkualiti tinggi, sekali gus meletakkan Ambest pada kedudukan baik untuk berkembang luas sebagai syarikat tersenarai awam yang berpotensi besar.


Tawaran IPO kumpulan tersebut jelas beliau, sudah dibuka kepada pelabur yang berminat mulai hari ini dan hanya akan ditutup pada 27 Januari 2026.


Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, manakala Wyncorp Advisory Sdn Bhd dilantik menjadi penasihat kewangan korporat. - DagangNews.com