Amaran ancaman MKN: Tiada gangguan kepada bekalan LNG di fasiliti Bintulu ketika ini, kata PETRONAS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Amaran ancaman MKN: Tiada gangguan kepada bekalan LNG di fasiliti Bintulu ketika ini, kata PETRONAS

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 9 Sept - PETRONAS memaklumkan, tiada sebarang kesan terhadap operasi gas asli cecair (LNG) dan tiada gangguan bekalan di fasiliti LNG miliknya di Bintulu, Sarawak.

 

Dalam satu kenyataan pada malam tadi, syarikat minyak nasional itu berkata ia mengambil maklum pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung potensi risiko keselamatan di fasiliti berkenaan.

 

 

 

 

 

 

“Kami mengambil perkara sebegini dengan penuh serius dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menilai dan menangani situasi ini.

 

“Buat masa ini, tiada sebarang kesan terhadap operasi kami dan tiada gangguan kepada bekalan kami.

 

"Sila yakin bahawa keselamatan dan kebajikan para pekerja, kontraktor serta komuniti di sekitar kami terus menjadi keutamaan utama,” kata PETRONAS.

 

Terdahulu, MKN memaklumkan kerajaan telah mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu untuk segera memperketatkan kawalan keselamatan susulan ancaman keselamatan terhadap fasiliti berkenaan. 

 

 

MKN



 

Dalam kenyataan pada Isnin, MKN berkata langkah itu diambil bagi membolehkan pasukan keselamatan serta agensi berkaitan menjalankan siasatan segera terhadap ancaman tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kenyataan ini. Perkembangan situasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

 

“Agensi keselamatan negara kekal bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan telah pun melaksanakan langkah kawalan terhadap ancaman keselamatan tersebut,” menurut kenyataan MKN itu.- DagangNews.com