Alliance Bank lancar ibu pejabat baharu 24 tingkat di Jalan Ampang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alliance Bank lancar ibu pejabat baharu 24 tingkat di Jalan Ampang

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Jan - Alliance Bank Malaysia Bhd hari ini melancarkan secara rasmi bangunan pejabat baharu setinggi 24 tingkat dikenali sebagai Menara Alliance Bank, terletak di Jalan Ampang, di tengah-tengah Segitiga Emas Kuala Lumpur.

 

Pelancaran itu menyusuli perpindahan bank berkenaan ke bangunan tersebut pada 1 Ogos tahun lalu, sekali gus menandakan perpindahan pertamanya ke ibu pejabat milik sendiri sejak penubuhannya.

 

Langkah itu bukan sekadar pertukaran alamat, sebaliknya melambangkan pertumbuhan Alliance Bank, aspirasi kelestarian serta transformasi berpaksikan masa depan di bawah strategi Acceler8 2027, menurut kenyataan bank itu.

 

Bangunan berkenaan berada di landasan untuk memperoleh pensijilan BCA Green Mark (Gold) bagi bangunan asas serta pensijilan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) bagi kerja-kerja pengubahsuaian dalaman pada tahun ini. Alliance Bank merupakan antara institusi perbankan terkecil di negara ini dari segi aset.

 

Pada 2023, Alliance Bank mengumumkan pengambilalihan suite pejabat 24 tingkat di Jalan Ampang itu, yang dibangunkan oleh anak syarikat Oxley Holdings Ltd, pada harga RM405.84 juta. Sebelum ini, ibu pejabat bank terletak di Menara Multi-Purpose di Jalan Munshi Abdullah, dengan penguasaan kira-kira 20 tingkat.

 

Perpindahan Alliance Bank itu menambah senarai bank-bank utama Malaysia yang telah memindahkan ibu pejabat masing-masing ke bangunan baharu, termasuk Bank Islam Malaysia Bhd yang berpindah ke Menara Bank Islam di Jalan Perak; CIMB Group Holdings Bhd ke Menara CIMB di KL Sentral; serta Hong Leong Bank Bhd ke Menara Hong Leong di Damansara City.

 

 

Kelly Kam
Kellee Kam berucap pada majlis perasmian Menara Alliance Bank pada 19 Januari 2026.



Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata ibu pejabat baharu itu direka sebagai ruang kerja yang bersatu dan kolaboratif bagi membolehkan kakitangan bekerjasama merentas fungsi, mencetuskan idea baharu serta menyampaikan hasil yang lebih baik kepada pelanggan.

 

“Ia juga menjadi platform untuk kami mempercepatkan transformasi digital, memperkukuh kerjasama dengan perniagaan Malaysia serta terus menyumbang secara bermakna kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya pada majlis pelancaran hari ini.

 

Beliau berkata, tumpuan Alliance Bank kekal kepada penciptaan nilai jangka panjang untuk pelanggan, warga kerja serta komuniti yang dilayani.

 

“Ia lebih daripada sekadar perpindahan. Ia merupakan manifestasi janji jenama kami. Kami sedang memasuki fasa pertumbuhan baharu yang berteraskan inovasi, kelestarian, pembangunan bakat dan keutamaan kepada pelanggan,” katanya.

 

Menurut Kam, slogan “The Bank for Life” tidak seharusnya sekadar wujud sebagai tagline.

 

“Menara Alliance Bank benar-benar mewakili nilai dan sistem kepercayaan kami untuk menjadi bank kepada semua rakyat Malaysia, di tengah-tengah ibu kota. Ia menjadi simbol aspirasi kami untuk muncul sebagai bank moden yang berpaksikan tujuan, kekal dekat dengan rakyat serta nilai teras kami,” katanya.

 

Saham Alliance Bank turun tujuh sen atau 1.3% kepada RM5.33 setakat masa penulisan pada Isnin, dengan nilai pasaran bank itu dianggarkan sebanyak RM9.2 bilion. - DagangNews.com