KUALA LUMPUR 29 Ogos - Walaupun keuntungan teras Bumi Armada Bhd (Bumi Armada) susut mendadak pada suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), penganalisis kekal melihat prospek syarikat FPSO itu positif dalam jangka panjang, disokong kedudukan kewangan yang sihat serta buku pesanan bernilai hampir RM18.3 bilion.
Bumi Armada mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM96.2 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), merosot 47.3 peratus berbanding suku sebelumnya (QoQ) dan susut 62.2 peratus tahun ke tahun (YoY).
Penurunan itu berpunca daripada bermulanya tempoh opsyen bagi FPSO Armada Kraken pada April 2025 yang menyaksikan kadar sewa hampir 70 peratus lebih rendah berbanding tempoh kontrak tetap.
Namun firma penyelidikan PublicInvest menegaskan prestasi ini hanyalah ‘reset’ kepada asas pendapatan baharu yang dijangka kekal stabil, memandangkan kadar operasi armada FPSO lain berada pada paras tinggi dengan aliran tunai operasi yang kukuh.
Sehubungan itu firma berkenaan mengekalkan penarafan Outperform dengan harga sasaran (TP) berasaskan DCF pada RM0.59.
Secara kumulatif, PATAMI teras bagi separuh pertama FY25 (1HFY25) berjumlah RM278.8 juta, sejajar dengan unjuran penganalisis dan konsensus masing-masing pada 55.7 peratus dan 48.9 peratus daripada jangkaan setahun penuh.
Meskipun berada pada trajektori keuntungan lebih rendah, Bumi Armada terus menjana aliran tunai operasi yang kukuh sebanyak RM373 juta, sekali gus menurunkan nisbah hutang bersih kepada 0.28 kali daripada 0.34 kali pada suku sebelumnya.
Kedudukan kewangan yang mantap ini memberi ruang kepada syarikat untuk membiayai kerja-kerja penerokaan awal di blok Akia dan Kojo PSC, di samping mengekalkan keupayaan untuk membida projek FPSO baharu yang berintensifkan modal.
Buku pesanan kumpulan juga kekal kukuh dengan kontrak kapal pasti bernilai RM9.1 bilion, selain tambahan pilihan lanjutan kontrak kira-kira RM9.2 bilion, sekali gus menyokong keterlihatan hasil jangka panjang.
Usaha berterusan kumpulan melangsaikan hutang turut menyaksikan nisbah hutang bersih menurun kepada 0.28 kali daripada 0.34 kali pada suku sebelumnya.
Firma MBSB Research turut mengakui kelebihan Bumi Armada mengekalkan saranan BUY, tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM0.54 daripada RM0.70 sebelum ini selepas keuntungan 1HFY25 hanya memenuhi 42 peratus daripada jangkaan awal.
Ini berdasarkan PER baharu 5.2 kali daripada EPS25 yang disemak semula pada 10.4 sen. PER baharu itu adalah purata 5 tahun Bumi Armada sebanyak 4.5 kali dengan premium +1 SD, mencerminkan keyakinan penganalisis terhadap prospek jangka panjang kumpulan.
MBSB Research optimis terhadap prospek jangka panjang Bumi Armada yang disandarkan kepada beberapa faktor utama termasuk:
1. PSC Akia yang kini bergerak ke peringkat pembangunan seterusnya.
2. PSC Kojo yang memulakan pelan pemerolehan seismik.
3. Penyertaan berterusan dalam bidaan BOT berikutan PETRONAS meningkatkan tender FPSO.
4. Hutang Olombendo dijangka selesai sepenuhnya menjelang FY26-FY27.
5. Pendekatan berdisiplin dalam pembayaran hutang dan pengurusan tunai.
"Bumi Armada juga merancang memperkukuh perniagaan teras FPSO serta meneroka potensi aset bukan teras termasuk huluan, penyimpanan karbon dioksida (CO₂) dan LNG," kata firma itu. - DagangNews.com








