KUALA LUMPUR 13 April – Aliran tunai kini menjadi faktor penentu utama kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengatasi kepentingan keuntungan dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
Pengarah Serantau Globaltech Horizons Asia (GTH-Asia) Pte Ltd, Jack Yang berkata, dalam situasi semasa, keuntungan semata-mata tidak mencukupi kerana ia sering hanya wujud di atas kertas, sedangkan tunai sebenar diperlukan untuk memastikan operasi berterusan.
“Anda boleh mencatat keuntungan tetapi masih berdepan kegagalan jika kehabisan tunai. Ketika ini, kejutan ekonomi berlaku lebih pantas daripada kitaran hasil, menyebabkan perniagaan tidak boleh bergantung kepada keuntungan masa depan. Mereka memerlukan tunai sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Bernama World yang disiarkan di Bernama TV.
Menurutnya, konflik di Timur Tengah yang sedang berlaku mula memberi kesan kepada kos operasi, rantaian bekalan serta keadaan pembiayaan, sekali gus menambah tekanan kepada PKS.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan PKS agar mendapatkan akses kepada modal lebih awal bagi menghadapi kemungkinan pengetatan kewangan.
“Jika berpeluang mendapatkan pembiayaan sekarang, lakukan sebelum tekanan dirasai. Mendapatkan modal lebih awal adalah lebih baik berbanding ketika keadaan menjadi mendesak,” katanya.
Dalam pada itu, Jack Yang berkata PKS di rantau ASEAN sememangnya berdaya tahan dari segi operasi, namun masih belum cukup bersedia dari sudut struktur untuk menghadapi gangguan global yang berulang.
Katanya, walaupun PKS cekap menyesuaikan diri dan mempunyai jaringan hubungan yang kukuh, kelemahan utama terletak pada perancangan kewangan, pengurusan risiko serta akses kepada sumber modal yang pelbagai.
“Ini merupakan aspek penting yang perlu diperkukuh bagi memastikan daya tahan jangka panjang PKS,” katanya.
Globaltech Horizons Asia merupakan firma perunding yang memberi tumpuan kepada penyelesaian strategik bagi membantu syarikat meningkatkan pertumbuhan, kecekapan operasi dan pengembangan pasaran. - BERNAMA








