Aliran masuk dana bon asing lebih besar, Malaysia kekal destinasi pelaburan stabil – Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aliran masuk dana bon asing lebih besar, Malaysia kekal destinasi pelaburan stabil – Parlimen diberitahu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb – Aliran keluar dana asing dari pasaran ekuiti pada 2025 tidak menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, memandangkan aliran masuk dana asing ke dalam pasaran bon negara adalah lebih besar dan berterusan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata, setakat 31 Disember 2025, pasaran ekuiti Malaysia mencatatkan aliran keluar dana asing sekitar AS$5.2 bilion atau RM22.3 bilion. 

 

Namun, dalam tempoh yang sama, pasaran bon negara merekodkan aliran masuk dana asing yang lebih tinggi mencecah AS$6 bilion atau RM25.6 bilion.

 

“Trend keseluruhan ini menunjukkan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil. Kemasukan berterusan dana asing ke dalam pasaran bon mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi negara,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab kebimbangan yang disuarakan Ahli Parlimen Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) berhubung perkara itu dalam sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

 

Tambahnya, sentimen pelabur pada Januari 2026 turut menunjukkan perkembangan positif apabila kedua-dua pasaran ekuiti dan pasaran bon masing-masing mencatatkan aliran masuk dana asing melebihi RM1 bilion.

 

Dalam pada itu, Amir Hamzah turut menjelaskan kedudukan pembaharuan fiskal Kerajaan MADANI serta isu bayaran balik lebihan cukai yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen termasuk Bagan, Putrajaya dan Pandan.

 

Beliau menegaskan pembaharuan fiskal kerajaan diperkukuh melalui penguatkuasaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 yang bertujuan meningkatkan ketelusan fiskal serta menetapkan sasaran fiskal jangka sederhana bagi memastikan kemampanan kewangan awam, kestabilan makroekonomi dan kesejahteraan rakyat.

 

“Komitmen ini terbukti melalui penurunan defisit fiskal secara berperingkat daripada 6.4% pada 2021 kepada 3.8% yang diyakini dapat dicapai bagi tahun 2025, dengan sasaran 3% menjelang 2028,” katanya.

 

Beliau menambah, kaedah pengiraan dan pelaporan defisit fiskal kerajaan adalah selaras dengan piawaian antarabangsa yang diterima pakai oleh agensi penarafan kredit serta badan dunia, selain menggunakan Manual Statistik Kewangan Kerajaan yang turut diguna pakai oleh negara lain. 

 

t

 

Ketua Audit Negara juga, katanya, telah mengesahkan bahawa Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan memberikan gambaran yang benar dan saksama.

 

Amir Hamzah turut menolak dakwaan bahawa penggunaan asas tunai dalam sistem perakaunan kerajaan adalah luar kebiasaan, sebaliknya menegaskan amalan tersebut merupakan standard antarabangsa yang turut diguna pakai negara maju dan membangun seperti Singapura, India, Jerman, Belanda dan Norway.

 

Menyentuh isu bayaran balik lebihan cukai, beliau mengakui Kerajaan MADANI mewarisi jumlah tunggakan yang tinggi, namun menegaskan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan perkara itu mengikut peruntukan undang-undang.

 

Menurut beliau, bayaran balik lebihan cukai yang diselesaikan pada 2025 adalah tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu berjumlah RM22.45 bilion. 

 

Bagi tempoh tiga tahun terkini dari 2023 hingga 2025, kerajaan telah melunaskan bayaran balik sebanyak RM56 bilion, iaitu 50% lebih tinggi berbanding RM37 bilion yang dibayar dalam tempoh 2020 hingga 2022.

 

“Sebahagian bayaran balik berjumlah RM7.5 bilion telah dibuat pada Disember 2025, berbanding komitmen awal RM4 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 6 Disember 2025,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan semua kes bayaran balik bagi tahun taksiran 2022 dan sebelumnya telah diselesaikan pada 2025, melibatkan 3.7 juta kes berbanding 2.7 juta kes pada 2024.

 

Bagi tahun taksiran 2023, Amir Hamzah berkata kerajaan yakin dapat menyelesaikan bayaran balik lebih awal daripada sasaran suku pertama 2026, iaitu menjelang Februari 2026, manakala bayaran balik bagi tahun taksiran 2024 dijangka diselesaikan sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

 

Pada masa sama, beliau berkata bayaran balik kepada pembayar cukai individu akan terus dibuat tanpa mengira usia kes, tidak termasuk syarikat.

 

 

 

 

 

 

Mengulas isu kelewatan bayaran balik, beliau menegaskan kerajaan mematuhi peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan membayar pampasan sebanyak 2% setahun bagi sebarang bayaran balik yang lewat.

 

“Setakat ini, pampasan berjumlah RM23.6 juta telah dibayar bagi sebahagian bayaran balik pada tahun 2025 dan komitmen ini akan terus dipenuhi,” katanya. - DagangNews.com