Aliran dana asing kembali kukuh, catat belian bersih dua minggu berturut-turut di Bursa Malaysia - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aliran dana asing kembali kukuh, catat belian bersih dua minggu berturut-turut di Bursa Malaysia - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 April - Sentimen pelabur asing di Bursa Malaysia menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM97.1 juta minggu lalu, sekali gus melanjutkan trend belian bersih kepada dua minggu berturut-turut, menurut MBSB Research.

 

Berdasarkan data dagangan mingguan, pelabur asing bertindak sebagai pembeli bersih dalam dua daripada lima hari dagangan. Aliran masuk terbesar direkodkan pada hari Rabu berjumlah RM138.1 juta, diikuti Khamis sebanyak RM107.3 juta.

 

Sebaliknya, aliran keluar terbesar dicatatkan pada hari Selasa dengan nilai RM78.3 juta, diikuti Isnin (RM68.7 juta) dan Jumaat (RM1.4 juta), mencerminkan aktiviti dagangan yang tidak sekata sepanjang minggu.

 

Dari segi sektor, perladangan muncul sebagai penerima utama aliran masuk asing dengan jumlah RM764.3 juta, diikuti sektor tenaga (RM149.6 juta) dan penjagaan kesihatan (RM96.4 juta).

 

Namun begitu, beberapa sektor utama turut menyaksikan tekanan jualan apabila sektor pengangkutan dan logistik mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi sebanyak RM249.3 juta, diikuti teknologi (RM155.3 juta) dan produk serta perkhidmatan pengguna (RM122.3 juta).

 

Dalam kalangan pelabur tempatan, pelabur institusi terus mencatatkan jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran keluar sebanyak RM98.3 juta, mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati terhadap keadaan pasaran semasa.

 

Pelabur runcit tempatan pula meneruskan trend jualan bersih untuk tiga minggu berturut-turut, walaupun pada kadar sederhana dengan aliran keluar sebanyak RM0.2 juta.

 

Sementara itu, purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan penyusutan merentasi semua kategori pelabur. Pelabur asing mencatatkan penurunan terbesar sebanyak 9.0%, diikuti pelabur runcit tempatan (-6.9%) dan institusi tempatan (-3.2%). - DagangNews.com