Alam Maritim catat untung bersih RM110.1 juta bagi 9MFY26 susulan penstrukturan semula hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alam Maritim catat untung bersih RM110.1 juta bagi 9MFY26 susulan penstrukturan semula hutang

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 MeiAlam Maritim Resources Berhad mencatatkan keuntungan bersih mencecah RM110.08 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026, dengan peningkatan kira-kira 109%.


Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, angka berkenaan adalah lebih baik berbanding sebanyak RM52.65 juta yang dicatatkannya pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.


Ujarnya, lonjakan prestasi ini didorong penghapusan pinjaman yang diiktiraf setelah berjaya menyelesaikan usaha penstrukturan semula hutang, khususnya bagi segmen kapal sokongan luar pantai (OSV).


"Bagaimanapun bagi suku ketiga pula, Alam Maritim melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM9.20 juta, berbanding RM23.26 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya," kata kumpulan berkenaan.


Penurunan keuntungan pada suku semasa ujar syarikat berkenaan, disebabkan ketiadaan pemulihan kerugian penurunan nilai ke atas penghutang-penghutang lain yang pernah direkodkan sebelum ini.


Hasil 9MFY26 merosot 27.9% kepada RM281.76 juta berbanding RM390.57 juta pada sebelumnya, ekoran pengurangan hari operasi bagi segmen perkhidmatan dasar laut dan pelupusan kapal dalam latihan.


Alam Maritim berkata, pendapatan suku ketiga namun meningkat 4.6% kepada RM73.07 juta berbanding RM69.83 juta bagi suku sebelumnya, didorong hari operasi lebih tinggi dalam segmen dasar laut.


"Sehubungan itu, pendapatan sesaham (EPS) asas bagi kumpulan ini berjaya mencatatkan sebanyak 25.52 sen sepanjang tempoh sembilan bulan tersebut," jelas syarikat berkenaan lagi.


Mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu menyatakan operasi semasa kekal berkait rapat dengan perbelanjaan operasi (opex) syarikat minyak dan gas (O&G) yang besar, terutamanya PETRONAS.


Kata Alam Maritim, permintaan terhadap perkhidmatan bawah air dijangka kekal stabil sehingga 2030 dengan keperluan penyelenggaraan talian paip dan aktiviti penutupan yang semakin meningkat.


Lembaga Pengarah terus komited untuk melaksanakan strategi yang berkesan bagi memastikan peningkatan nilai pemegang saham kekal menjadi keutamaan strategik syarikat. - DagangNews.com