KUALA LUMPUR 5 Jun - ALAA Consultancy Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama MGM Health & Wellness yang berpangkalan di United Kingdom ( UK) bagi memperkenalkan pusat penjanaan semula kesihatan Zen Wellness di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif ALAA Consultancy, Husna Nashim berkata, kerjasama tersebut memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan perubatan di Malaysia.
“Fokus utama kami dalam kerjasama ini adalah pelancongan perubatan dan ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, dengan Langkawi dipilih sebagai lokasi untuk pembangunannya.
“Setakat ini, belum ada contoh pelaksanaan pelancongan perubatan menggabungkan aspek kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh di negara ini.
“Justeru, pihak kami mendekati MGM untuk membawa kepakaran dan model yang telah mereka bangunkan untuk diketengahkan di negara kita dalam masa terdekat," katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Rabu. Hadir sama, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Pembangunan MGM Health & Wellness, Mohey Mahmoud.

Hasil daripada kerjasama rentas sempadan ini bakal menghimpunkan kepakaran kemudahan strategik tempatan dan antarabangsa yang dilihat selari dengan penjajaran dasar ALAA dengan keupayaan MGM yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Kepakaran pembangunan ini dapat dilihat khususnya di resort kesihatan yang menjadi projek utama MGM, The Zen Wellness Resort di New Aswan, Mesir, yang telah pun terbukti mampu menyepadukan terapi perubatan lanjutan dengan layanan bertaraf istimewa untuk kesejahteraan holistik, dengan model yang sama bakal diimplementasikan dalam projek pembangunan hasil dari kerjasama strategik kedua-dua pihak di Langkawi.
Sementara itu, Mohey Mahmoud berkata, perkongsian dan kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama mereka untuk mengubah Langkawi menjadi hab kesihatan regeneratif yang pertama di Asia.
"Kami percaya dalam membina fasiliti bukan sahaja sebagai sebuah pusat peranginan, tetapi impak ekonomi dan sosialnya dijangka memberi kesan yang berpanjangan untuk masyarakat setempat,” ujarnya.
Cadangan pembangunan ini akan memberi tumpuan kepada beberapa sagmen seperti Program kesihatan regeneratif; sebagai lokasi percutian kesihatan mewah; Kemudahan gabungan kesihatan-perubatan selain dari meningkatkan penglibatan komuniti di dalam amalan pelancongan mapan. - DagangNews.com








