SHAH ALAM 24 Feb - Seminggu sebelum menyambut Ramadan, sukarelawan seramai 44 orang dari pertubuhan NGO, Kembara 7 berpusat di Jalan Platinum Seksyen 7 di sini, terus gigih melaksanakan program-program bantuan kemanusiaan ke kawasan miskin tegar di pedalaman.
Pengerusi Kembara 7, Abdul Aziz Awang berkata, rombongan 13 kenderaan pacuan 4 roda membawa bekalan makanan asas seperti beras, gula dan sebagainya menjadikan Kg Gulau, sebuah perkampungan yang terletak kira-kira 30km dari Sik, Kedah sebagai destinasi terbaharu.
Di Kg Gulau, sukarelawan Kembara 7 telah menyantuni seramai 110 keluarga dengan bekalan makanan tersebut sebagai persediaan menyambut bulan puasa tidak sampai seminggu lagi.
"Alhamdulillah, misi bantuan kita kali ini berjaya mencapai matlamat dan sasaran kita untuk menyumbang kepada penduduk di Kg Gulau, Kedah.
"Kami memilih Kg Gulau kerana kedudukannya yang jauh di pedalaman dengan bilangan penduduk miskin tegar yang ramai.
"Semoga bantuan tidak seberapa ini mampu meringankan beban mereka," kata Abdul Aziz kepada DagangNews.com yang juga menjadi penaja Kembara 7 ke Misi Ambang Ramadan di Kg Gulau, Sik di Kedah dari 21 hingga 23 Feb 2025.



Menurut beliau, barang-barang makanan tersebut dikumpul daripada sumbangan ahli-ahli Kembara 7 termasuk beberapa syarikat yang prihatin.
Abdul Aziz berkata, setakat dua bulan pertama tahun ini Kembara 7 telah melaksanakan misi bantuan kemanusiaan anjuran Masjid Seksyen 7 di Tumpat, Kelantan dan juga anjuran Surau Platinum Al-Mawaddah di Pasir Mas di Kelantan.
"Insya-Allah, kita akan terus aktif melakukan program-program bantuan kemanusiaan seperti ini dan diharap dapat memberi inspirasi kepada ramai lagi untuk melakukan kerja mulia sebegini.

"Ia bukan sahaja diharap bermanfaat kepada kumpulan yang kita sasarkan tetapi juga sesama ahli Kembara 7 kerana aktiviti ini mengukuhkan ukhuwah dan meneguhkan iltizam membantu sesama ummah," kata Abdul Aziz. - DagangNews.com








