AirTrunk bangunkan pusat data awan kedua di Johor, jadikan jumlah pelaburan sebanyak RM9.7 bilion di Malaysia setakat ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirTrunk bangunkan pusat data awan kedua di Johor, jadikan jumlah pelaburan sebanyak RM9.7 bilion di Malaysia setakat ini

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Feb - Gergasi pusat data Australia, AirTrunk, akan membangunkan pusat data awan keduanya yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), AirTrunk JHB2 (JHB2) di Iskandar Puteri, Johor. 


 
Dengan skala lebih 270 megawatt (MW), JHB2 akan menyokong permintaan daripada syarikat awan awam dan teknologi global di rantau ini.

 

Pembinaan pusat data awan kedua itu, meningkatkan jumlah pelaburan AirTrunk di Malaysia kepada lebih RM9.7 bilion, selepas pembukaan kemudahan pertamanya iaitu 150+MW AirTrunk JHB1, pada Julai 2024.

 

JHB2, yang terletak di kawasan strategik, menawarkan sambungan antara sempadan kepada pelanggan dan keupayaan untuk mengembangkan operasi mereka mengikut permintaan.

 

Kapasiti tambahan tersebut akan membantu menyokong ekonomi digital Malaysia yang sedang berkembang pesat, terutamanya selepas penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Seperti JHB1, pusat data baharu berkenaan akan menampilkan teknologi penyejukan cecair AirTrunk terkini untuk mengurus permintaan AI berketumpatan tinggi dan akan memastikan penjimatan tenaga yang ketara. 

 

JHB2 direka untuk mencapai piawaian kecekapan dan keselamatan tertinggi, dengan reka bentuk kuasa rendah PUE (Keberkesanan Penggunaan Kuasa) sebanyak 1.25 dan pelbagai pilihan tenaga boleh diperbaharui tersedia untuk pelanggan.

 

Untuk menyokong matlamat kerajaan negeri Johor dalam mempelbagaikan sumber air, AirTrunk mempertimbangkan penggunaan air pulih guna yang dirawat sebagai bekalan air mampan kitar semula untuk operasinya.

 

Sejajar dengan tumpuan kerajaan Malaysia terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan peluang yang semakin meningkat untuk pekerja berkemahiran tinggi, AirTrunk juga mewujudkan pekerjaan untuk rakyat Malaysia. 

 

AirTrunk juga akan menyumbang kepada program celik digital dan membiayai biasiswa pendidikan STEM di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk terus menyokong masyarakat setempat dalam jangka masa panjang.

 

Bergerak ke arah sasaran sifar bersih menjelang 2030, AirTrunk baru-baru ini mengumumkan antara penempatan solar terbesar di tapak untuk pusat data di Asia Tenggara di JHB1, serta Perjanjian Pembelian Kuasa Maya tenaga boleh diperbaharui pertama untuk pusat data bagi tenaga boleh diperbaharui 30MW, di bawah Program Kuasa Hijau Korporat Malaysia.

 

AirTrunk bekerjasama dengan Tenaga Nasional Malaysia (TNB) untuk menyambungkan JHB2 melalui inisiatif Laluan Lorong Hijau (GLP) yang ditawarkan kepada pusat data dalam menyelaraskan bekalan elektrik voltan tinggi pada tempoh masa yang disingkatkan kepada 12 bulan. 

 

AirTrunk juga menyediakan tanah untuk TNB membina pencawang baharu dan menambah daya tahan kepada sistem pengagihan elektrik di kawasan tersebut.

 

Kerjasama berterusan itu bermula daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 2023, membuka pintu kepada AirTrunk untuk mencari rumusan hijau bersama TNB dalam usaha memajukan peralihan tenaga di rantau ini.

 

Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk, Robin Khuda berkata memandangkan Malaysia sedang memperkukuhkan kedudukannya sebagai kuasa digital, AirTrunk berbesar hati untuk menyumbang kepada pertumbuhan tersebut dalam jangka panjang dan menyalurkan manfaat bersama kepada rakyat Malaysia. 

 

"Pusat data AirTrunk berfungsi sebagai kemudahan penting yang akan membantu meningkatkan produktiviti dan membolehkan produk dan perkhidmatan baharu yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi. 

 

"Kami komited untuk membantu merealisasikan potensi teknologi awan dan AI di Malaysia dan mengutamakan kesinambungannya untuk manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua AirTrunk Malaysia, Pei Jet Lim berkata, kampus pusat data JHB2 AirTrunk yang baharu memperlihatkan kepentingan Malaysia kepada AirTrunk. 

 

"Menggabungkan pelaburan jangka panjang dengan pekerjaan tempatan bernilai tinggi, latihan dan inisiatif kesan sosial adalah penting kepada pendekatan kami. 

 

"Seperti JHB1, kami juga terus mempelopori amalan mampan dengan JHB2, sejajar dengan komitmen kami untuk mencapai sifar bersih menjelang 2030," ujarnya. - DagangNews.com