KUALA LUMPUR 22 Jan – Airod Sdn Bhd menegaskan komitmen dan kesiapsiagaan penuh syarikat itu untuk menyokong pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) Malaysia, dengan kedudukan Airod sebagai aset strategik nasional dalam memperkukuh keupayaan penyelenggaraan pertahanan udara negara.
Dalam kenyataan hari ini, Airod berkata, pelancaran rasmi DIPN selari dengan aspirasi jangka panjang syarikat untuk mengurangkan kebergantungan kepada pembekal dan teknologi asing, membangunkan industri pertahanan tempatan yang kukuh serta menjamin kesinambungan operasi pertahanan negara dalam apa jua keadaan.
Sebagai organisasi Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) pesawat pertama di Malaysia yang ditubuhkan pada 1976, Airod menekankan peranannya sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyokong platform penerbangan pertahanan sedia ada dan masa hadapan di bawah program pemodenan pertahanan negara.
Menurut Airod, pengalaman lebih lima dekad menyokong Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pengendali antarabangsa meletakkan syarikat itu pada kedudukan unik untuk memastikan ketersediaan armada, kesiapsiagaan operasi dan sokongan penyelenggaraan pesawat tentera yang selamat serta berterusan dalam negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Airod, Mejar Jeneral Datuk Ibrahim Bahari TUDM (Bersara) berkata, pelancaran DIPN mengukuhkan lagi peranan Airod sebagai tonggak industri aeroangkasa pertahanan Malaysia.
“Seiring dengan pelancaran DIPN, Airod menegaskan syarikat bersiap sedia sepenuhnya untuk menyokong keperluan pertahanan udara kerajaan, pada masa ini atau pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, pelaburan berterusan Airod dalam infrastruktur, peralatan, pensijilan, pendigitalan serta pembangunan tenaga kerja memastikan syarikat kekal fleksibel, tidak terikat kepada platform tertentu dan bersedia memenuhi keperluan pertahanan masa hadapan.
Menurut Airod, selaras dengan DIPN dan pelan pembangunan keupayaan nasional, syarikat itu berada dalam keadaan siap siaga untuk menerima, mengintegrasi dan menyokong platform pesawat baharu yang diperoleh oleh Kerajaan Malaysia.
Kesiapsiagaan ini disokong oleh infrastruktur MRO berskala besar bagi platform sayap tetap dan sayap putar, tenaga kerja teknikal tempatan yang terlatih dan diperakui, serta kerjasama kukuh dengan pengeluar peralatan asal (OEM) dan rakan antarabangsa.
Airod turut berkata, keupayaan penyelenggaraan digital dan ramalan, termasuk perancangan berasaskan data serta penyelesaian berteraskan kecerdasan buatan (AI), membolehkan aset pertahanan diselenggara secara cekap, selamat dan berdaya tahan sepanjang kitaran hayat operasi, sejajar objektif utama DIPN.
Dirangka oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), DIPN menetapkan hala tuju Malaysia untuk membangunkan industri pertahanan yang berdikari, berdaya tahan dan diyakini di peringkat global.
Tambah Airod, aspirasi ini diterjemahkan secara langsung melalui strategi jangka panjang syarikat yang memfokuskan kepada penyelenggaraan peringkat depot, pengubahsuaian dan naik taraf pesawat yang dilaksanakan dalam negara.
Selain itu, Airod berkata, ia terus mendayakan pemindahan teknologi dan penyetempatan melalui kerjasama strategik dengan OEM global, industri pertahanan serantau serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Usaha inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat turut dipacu melalui kolaborasi dengan institusi akademik dan badan penyelidikan, khususnya dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa, pendigitalan dan kecerdasan buatan.
Menurut syarikat itu, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyokong kesiapsiagaan pertahanan negara, malah memberi impak ekonomi dengan menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pertumbuhan industri bernilai tinggi.
Di peringkat antarabangsa, Airod memiliki rekod prestasi global yang kukuh dalam menyediakan perkhidmatan MRO kepada angkatan udara asing termasuk Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), Kor Marin Amerika Syarikat, Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU), Tentera Udara Filipina serta pengendali di Afrika.
Menurut Airod, jangkauan global ini mengukuhkan peranannya sebagai penghubung dipercayai antara industri pertahanan Malaysia dan ekosistem aeroangkasa antarabangsa, selari dengan aspirasi DIPN untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain pertahanan yang diyakini di peringkat global.
Dengan pelancaran DIPN, Airod berkata, ia bersedia berkhidmat sebagai rakan strategik dan tonggak industri kepada Kerajaan Malaysia, bukan sahaja dalam menyokong keupayaan pertahanan sedia ada, malah bagi platform masa hadapan serta pelaksanaan menyeluruh Dasar Industri Pertahanan Negara. - DagangNews.com








