Airbus kongsi kepakaran melalui pemindahan teknologi bersama Boustead, AIROD, GTA dan Ikramatic Systems | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Airbus kongsi kepakaran melalui pemindahan teknologi bersama Boustead, AIROD, GTA dan Ikramatic Systems

Pameran DSA 2026 berlangsung di MITEC dari 20 hingga 23 April 2026 - Fambar FB Defence Services Asia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 April – Airbus memperkukuh komitmennya terhadap Malaysia dengan memperluaskan kerjasama industri pertahanan menerusi beberapa perjanjian baharu yang dimeterai sempena penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026).

 

Perjanjian tersebut melibatkan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat yang merangkumi kerjasama dengan Boustead Holdings, AIROD, Global Turbine Asia (GTA) serta Ikramatic Systems.

 

Langkah ini mencerminkan komitmen jangka panjang Airbus dalam menyokong pembangunan industri pertahanan tempatan selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), yang menekankan pemindahan teknologi, pembangunan keupayaan tempatan dan pengukuhan rantaian bekalan domestik.

 

 

 

 

 

 

 

 

Kerjasama tersebut melibatkan kedua-dua divisyen utama Airbus iaitu Airbus Defence and Space dan Airbus Helicopters yang mencerminkan pendekatan menyeluruh merangkumi segmen pesawat, helikopter dan sistem angkasa.

 

t
MoU Airbus bersama GTA

 

t
MoU Airbus bersama Ikramatic Systems

 

Wakil Negara Airbus di Malaysia, Burhanudin Noordin Ali berkata kerjasama strategik itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memperluaskan jejak industri di Malaysia serta memperkukuh keupayaan syarikat tempatan dalam sektor pertahanan.

 

Menurut beliau, perjanjian yang dimeterai juga mencerminkan kesediaan Airbus untuk bekerjasama rapat dengan pemain industri tempatan dalam meningkatkan keupayaan teknikal dan operasi, sejajar dengan keperluan pertahanan negara.

 

Dalam konteks komunikasi satelit ketenteraan, Airbus Defence and Space bersama Boustead akan meneroka kerjasama teknikal bagi menyokong pelaksanaan program Military Satellite Communication (MilSatCom) Malaysia termasuk aspek latihan dan penyelenggaraan jangka panjang di bawah kerangka Program Kolaborasi Industri (ICP).

 

Selain itu, Airbus Helicopters berhasrat untuk mengukuhkan peranan Boustead sebagai kontraktor utama bagi jualan helikopter tentera di Malaysia, melengkapkan keupayaan sedia ada melalui unit BHIC AeroServices yang menyokong armada H225M milik Tentera Udara Diraja Malaysia merangkumi sokongan ketenteraan, kerja-kerja penyelenggaraan dan ujian tanpa musnah.

 

t
Mou Airbus bersama  NADI-AIROD

 

t
MoU Airbus bersama Boustead

 

Kerjasama dengan AIROD pula tertumpu kepada pembangunan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat pengangkut tentera A400M, yang dijangka meningkatkan kesiapsiagaan operasi selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat MRO serantau.

 

Dalam masa sama, Airbus turut meneroka peluang bersama GTA untuk memperluas keupayaan penyelenggaraan enjin pesawat tentera, dengan syarikat tempatan itu ketika ini telah diberi kebenaran menyelenggara enjin TP400-D6 yang digunakan oleh A400M, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk peningkatan kepakaran.

 

 

 

 

 

 

Bagi aspek latihan, Airbus Helicopters dan Ikramatic Systems akan mengkaji potensi kerjasama dalam pembangunan teknologi H225 Full Flight Simulator di pusat simulasi Airbus di Subang di bawah kerangka ICP, yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab latihan penerbangan serantau.

 

Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan pertahanan negara, malah dijangka menjana impak ekonomi melalui pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan vendor tempatan serta penglibatan lebih meluas syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global Airbus. - DagangNews.com