KUALA LUMPUR 7 Julai - Airbus Helicopters, pengeluar helikopter terkemuka dunia telah menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bersama pemain utama dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan Malaysia.
MoU tersebut ditandatangani Menteri Pertahanan Malaysia,
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Paris semasa lawatan rasminya ke Perancis baru-baru ini.
MoU tersebut bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama industri dalam teknologi aeroangkasa dan mempertingkatkan keupayaan penyelenggaraan,
pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter tentera sebagai komitmen
bersama terhadap inovasi dan keselamatan serantau.
Melalui perjanjian pertama, Airbus Helicopters dan Gabungan Industri Pertahanan Malaysia (CDIM) akan meneroka peluang industri untuk pembangunan dalam bidang aeroangkasa dan pertahanan.
MoU itu adalah yang pertama seumpamanya antara Airbus dan industri pertahanan Malaysia untuk mewujudkan rangka kerja khusus bagi merangsag inovasi, pertumbuhan dan pembangunan helikopter tentera dalam sektor pertahanan tempatan.
Bagi perjanjian kedua pula, Airbus Helicopters akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan MRO tempatan, Global Turbine Asia (GTA) untuk memperkasa ekosistem pertahanan Malaysia serta mempercepatkan pertumbuhan industri.
Pengerusi Eksekutif Global Turbine Asia dan Presiden CDIM, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata, kerjasama itu adalah komitmen jangka panjang Airbus terhadap matlamat Malaysia untuk membangunkan ekosistem pertahanan yang berdaya tahan dan berdikari.
"Hubungan kukuh yang telah lama terjalin antara industri aeroangkasa Malaysia dan peneraju global seperti Airbus perlu diteruskan untuk meneroka bidang kerjasama baharu demi memastikan kesinambungan inovasi, pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan," katanya.
Ketua Asia-Pasifik Airbus Helicopters, Vincent Dubrule pula berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan sektor aeroangkasa dan pertahanan negara serta menyokong kemajuan teknologi dalam memperkukuh kedaulatan industri itu.
"Ketika Malaysia mempertimbangkan pemerolehan helikopter untuk misi penting seperti sokongan taktikal, operasi mencari dan menyelamat tempur serta peperangan anti-
permukaan, kerjasama ini akan memperkukuhkan lagi kepakaran tempatan dan mempromosikan
pemindahan teknologi.
"Airbus melihat CDIM dan GTA sebagai rakan kongsi yang dipercayai yang sepadan dengan keutamaan strategik syarikat," katanya.- DagangNews.com








