AirAsia X terbang terus dari Kuala Lumpur ke Istanbul mulai November 2025, harga daripada RM499 sehala | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X terbang terus dari Kuala Lumpur ke Istanbul mulai November 2025, harga daripada RM499 sehala

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos – AirAsia X memperluaskan rangkaian penerbangannya dengan melancarkan laluan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Istanbul, Türkiye bermula 14 November 2025.

 

Perkhidmatan ini akan beroperasi empat kali seminggu, membuka pintu kepada pengembara Asia Tenggara untuk mengakses benua Eropah dengan lebih mudah.

 

Laluan baharu itu menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (SAW) di Istanbul, yang merupakan hab penting dengan sambungan ke lebih 117 destinasi antarabangsa dan 40 destinasi domestik.

 

Ini juga membolehkan penumpang dari Istanbul dan destinasi lain menikmati akses terus ke rangkaian luas AirAsia yang merangkumi lebih 130 destinasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, pelancaran laluan itu adalah permulaan penting dalam strategi syarikat untuk menghubungkan Asia dengan destinasi global, terutamanya melalui bandar unik yang terletak di dua benua iaitu Istanbul.

 

“Kami yakin laluan ini akan membuka peluang baharu untuk perniagaan dan pelancongan serta menawarkan pilihan perjalanan yang lebih berpatutan dan selesa kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, pakej Umrah Plus Istanbul yang ditawarkan oleh anak syarikat Capital A, ikhlas.com, bakal menjadi tarikan utama bagi penumpang Muslim menggabungkan perjalanan ibadah dan pelancongan.

 

“Tambahan pula, kemudahan Fly-Thru membolehkan perjalanan lancar tanpa perlu daftar masuk bagasi semula bagi penumpang transit ke destinasi seperti Indonesia, Australia, Singapura dan China,” katanya.

 

test

 

Sementara itu, Duta Besar Republik Türkiye ke Malaysia, Emir Salim Yüksel menyifatkan laluan baharu itu sebagai pemangkin kukuh kepada hubungan dua hala Malaysia-Türkiye dalam pelancongan, perniagaan, pendidikan dan inovasi.

 

“Dengan mempertingkatkan akses pengangkutan udara, kita membawa kedua-dua rantau ini lebih dekat dengan cara yang memberi manfaat kepada pengembara, komuniti dan ekonomi secara keseluruhannya,” katanya.

 

Untuk meraikan pelancaran itu, AirAsia X menawarkan tambang promosi bermula dari RM499 sehala termasuk semua caj serta RM3,999 bagi tempat duduk Premium Flatbed.

 

Tempahan dibuka sehingga 20 Ogos 2025 untuk tempoh perjalanan antara 14 November 2025 dan 14 September 2026. - DagangNews.com