KUALA LUMPUR 19 Jan - Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, menggambarkan penyatuan perniagaan penerbangan kumpulan AirAsia sebagai satu detik paling mengharukan dalam kerjayanya, menandakan berakhirnya bab paling mencabar sejak industri penerbangan terhenti akibat pandemik Covid-19 enam tahun lalu.
“Kami akhirnya menutup bab paling mencabar dalam sejarah kami.
"Ini merupakan kemuncak salah satu proses penyusunan semula paling kompleks dan teliti yang pernah dilakukan oleh mana-mana kumpulan penerbangan sejak Covid menghentikan operasi penerbangan,” katanya, sambil menambah bahawa `menyerah bukanlah pilihan' dan kumpulan itu membina semula perniagaan langkah demi langkah, kelulusan demi kelulusan.
Kenyataan beliau muncul selepas AirAsia X Bhd (AAX) menamatkan pengambilalihan AirAsia Bhd (AAB) dan AirAsia Aviation Group Ltd daripada Capital A Bhd, sekali gus menyatukan perniagaan penerbangan kumpulan AirAsia di bawah satu bendera.
Menurut AAX, penyatuan ini dijangka membuka kecekapan operasi dan kewangan yang ketara, termasuk penggunaan armada yang lebih baik, perancangan rangkaian yang lebih terintegrasi dan platform operasi yang lebih kukuh.
Kumpulan itu juga dapat memanfaatkan ekosistem penerbangan dan pelancongan yang dibangunkan melalui portfolio perniagaan Capital A.
“Tonggak ini menandakan detik penting bagi kumpulan. Dengan penyatuan kini lengkap, kami telah mewujudkan platform penerbangan yang lebih kukuh dan efisien, bersedia untuk pertumbuhan mampan, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan.
“Lembaga yakin integrasi ini akan membuka sinergi yang besar dan mengukuhkan kepimpinan kumpulan AirAsia di rantau ini,” kata Pengerusi AAX, Datuk Fam Lee Ee.
Transaksi ini diselesaikan melalui peruntukan dan penerbitan 2.31 bilion saham biasa baru AAX kepada Capital A dan pemegang saham yang layak, berserta pengambilalihan oleh AAX terhadap RM3.8 bilion yang sebelum ini terhutang oleh Capital A kepada AAB.
Serentak itu, AAX juga memperuntukkan dan menerbitkan 606 juta saham biasa baru kepada pelabur pihak ketiga bebas melalui penempatan persendirian. Kedua-dua saham pertimbangan dan saham penempatan dijadualkan disenaraikan dan diniagakan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 19 Jan 2026.
Capital A berkata ia akan memberikan kemas kini lanjut apabila langkah-langkah prosedur yang tinggal diselesaikan, termasuk perkembangan permohonan menamatkan status PN17. - DagangNews.com








