KUALA LUMPUR 2 April — AirAsia MOVE meneroka kedudukan di Asia Selatan apabila menjalin kerjasama dengan tiga syarikat penerbangan utama rantau itu iaitu IndiGo, Air India dan US-Bangla Airlines.
Langkah strategik dilaksanakan platform tempahan perjalanan digital di bawah Capital A Berhad ini turut didorong permintaan perjalanan antara Asia Tenggara dan Asia Selatan yang kekal kukuh.
Menurut kenyataan, perkembangan positif tersebut didorong oleh peningkatan aktiviti pelancongan, mobiliti perniagaan, aliran pergerakan pelajar serta kunjungan keluarga dan rakan-rakan (VFR).
"Penambahan rakan penerbangan ini membolehkan pengguna menikmati lebih banyak pilihan, harga lebih kompetitif serta kemudahan merancang perjalanan pelbagai bandar dalam satu platform," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia MOVE, Nadia Omer berkata, Asia Selatan merupakan antara rantau pelancongan paling dinamik dengan potensi pertumbuhan yang tinggi pada ketika ini.
Kerjasama dijalinkan itu membolehkan syarikat tersebut menawarkan akses laluan lebih luas serta pengalaman tempahan lancar merangkumi penerbangan, hotel dan aktiviti dalam satu aplikasi sahaja.
"Laluan utama menghubungkan bandar di ASEAN seperti Kuala Lumpur, Bangkok dan destinasi ain ke Asia Selatan termasuk Delhi, Mumbai, Kolkata dan Dhaka terus mencatat permintaan tinggi," katanya.
Situasi ini ujar Nadia, selari dengan hubungan ekonomi dan budaya semakin rapat, dan tiga syarikat itu kini menyertai lebih 70 rakan penerbangan global yang mempunyai integrasi dengan AirAsia MOVE.
Usaha kerjasama terbaharu berkenaan tambah beliau, dijangka mengukuhkan kedudukan platform digital tersebut sebagai antara agensi pelancongan dalam talian (OTA) yang utama di rantau Asia Tenggara.
Selain itu, ia menawarkan akses kepada 700 syarikat penerbangan melalui pembekal sah, serta lebih satu juta pilihan hotel, pengangkutan lapangan terbang, insurans perjalanan dan perkhidmatan lain.
"Langkah pengembangan ini dilihat sejajar strategi AirAsia MOVE memperluas ekosistem perjalanan digital, di samping memanfaatkan pertumbuhan pesat pelancongan serantau," katanya. - DagangNews.com








