AirAsia MOVE raih anugerah pemasaran ASEAN, kukuhkan peranan pacu pelancongan serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia MOVE raih anugerah pemasaran ASEAN, kukuhkan peranan pacu pelancongan serantau

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 28 Jan – AirAsia MOVE (MOVE), yang dikenali sebagai Aplikasi Tempahan Perjalanan Terbaik Asia, meraih pengiktirafan serantau apabila dianugerahkan Program Pemasaran & Promosi Terbaik ASEAN pada Anugerah Kecemerlangan ASEANTA ke-35 yang berlangsung di Cebu, Filipina.

 

MOVE dalam kenyataan hari ini berkata, anugerah yang disampaikan oleh Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA) itu mengiktiraf kempen pemasaran ‘Travel More for Less’ oleh MOVE, iaitu inisiatif merentas pelbagai pasaran utama termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina. 

 

Kempen berkenaan dirangka bagi menggalakkan pelancongan intra-ASEAN serta penerokaan destinasi unik dan kurang diterokai di rantau ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia MOVE, Nadia Omer berkata, kempen ‘Travel More for Less’ berteraskan kepercayaan bahawa keindahan sebenar ASEAN terletak pada destinasi percutian unik yang belum diterokai ramai.

 

“Dengan hampir 80% pengembara hanya tertumpu di 10% destinasi global, misi kami di MOVE adalah untuk mengimbangi landskap pelancongan. Usaha mengalihkan tumpuan ke destinasi tersembunyi bukan sahaja mengubah trend pelancongan, malah menyokong komuniti tempatan dan membolehkan lebih ramai meneroka ASEAN dengan lebih mendalam,” katanya.

 

Beliau berkata, pengiktirafan ASEANTA itu merupakan satu penghormatan besar memandangkan operasi MOVE tertumpu di rantau ASEAN, seiring usaha berterusan membangunkan ekosistem perjalanan digital yang dimiliki oleh dan berkhidmat untuk masyarakat ASEAN serta pasaran global.

 

Menurut MOVE, kempen tersebut menekankan penceritaan berasaskan komuniti dengan menghimpunkan pencipta kandungan dari negara-negara ASEAN melalui kerjasama bersama lembaga pelancongan dan rakan hotel. 

 

Inisiatif ini turut diperkukuh dengan produk dan inovasi utama seperti langganan ASEAN Explorer Pass, pakej Penerbangan + Hotel SNAP!, kumpulan sembang dalam aplikasi, serta laman Discover ASEAN, bagi merangsang perjalanan sepanjang tahun dan membina komuniti pengembara.

 

MOVE berkata, kekuatan utama kempen itu juga disokong oleh kehadiran kukuh syarikat di peringkat lapangan di seluruh rantau ASEAN, dengan pejabat tempatan di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.

 

Pasukan tempatan MOVE bekerjasama rapat merentas pasaran untuk merangka kesalinghubungan ASEAN yang bermakna, sekali gus memastikan setiap kempen diselaraskan di peringkat serantau dan kekal relevan di peringkat tempatan, berteraskan budaya setempat serta memberi impak positif kepada komuniti. - DagangNews.com