AirAsia Group jelaskan strategi kumpul modal AS$1 bilion dan susun semula armada pesawat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia Group jelaskan strategi kumpul modal AS$1 bilion dan susun semula armada pesawat

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept – AirAsia Group Berhad menjelaskan rancangan syarikat mendapatkan dana sehingga AS$1 bilion melalui pasaran hutang antarabangsa serta RM700 juta menerusi kemudahan kredit tempatan bertujuan untuk menyusun semula hutang dan memperkukuh kedudukan kewangannya.

 

Kumpulan itu berkata, usaha berkenaan bukan semata-mata bagi menampung kekurangan dana untuk operasi, sebaliknya merupakan sebahagian daripada strategi mengoptimumkan struktur modal serta menyatukan kemudahan hutang sedia ada.

 

AirAsia berkata, langkah tersebut membolehkan syarikat membiayai semula hutang berkos tinggi yang ditanggung ketika kemuncak pandemik COVID-19 dengan kemudahan pembiayaan baharu yang mempunyai kos lebih rendah, tempoh matang lebih panjang dan syarat yang lebih baik.

 

Kumpulan itu turut menegaskan keupayaannya mendapatkan pembiayaan apabila berjaya mengumpulkan kira-kira AS$300 juta pada Mac 2026, ketika pasaran global berdepan ketidaktentuan dan harga bahan api mengalami turun naik.

 

“Strategi pembiayaan itu dijangka mengurangkan beban perbelanjaan faedah tahunan, mengoptimumkan kos operasi seunit tidak termasuk bahan api serta memastikan syarikat mempunyai kecairan mencukupi untuk keperluan modal kerja dan pertumbuhan strategik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Susun Semula Hutang Untuk Kurangkan Beban Kewangan

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Farouk Kamal berkata, inisiatif pasaran modal yang sedang dilaksanakan merupakan langkah proaktif untuk mengoptimumkan kunci kira-kira syarikat.

 

Katanya, AirAsia memanfaatkan hubungan dengan bank dan institusi pembiayaan untuk menggantikan hutang lama berkadar faedah tinggi yang diambil ketika pandemik dengan kemudahan pembiayaan jangka panjang yang lebih teratur.

 

“Langkah ini akan mengoptimumkan struktur modal kami, mengurangkan perbelanjaan faedah dan memberikan fleksibiliti kewangan yang lebih besar ketika kami kembali kepada pertumbuhan yang mampan,” katanya.

 

Dalam usaha melindungi margin operasi daripada ketidaktentuan harga tenaga, AirAsia turut melaksanakan strategi pengurusan risiko yang merangkumi pelarasan tambang penerbangan secara dinamik serta pengurangan perbelanjaan operasi selain bahan api.

 

Pada suku kedua 2026, kumpulan itu berjaya mendapatkan semula 70% daripada kenaikan harga bahan api menerusi pelarasan tambang dan langkah mengurangkan kos bukan bahan api, selain sedang memperluaskan strategi perlindungan harga bahan api di seluruh kumpulan.

 

Kapasiti Dikurangkan Ketika Permintaan Lebih Perlahan

AirAsia turut menjelaskan bahawa pelarasan kapasiti sebanyak 20% hingga 25% pada suku ketiga 2026 merupakan keputusan operasi yang disengajakan dan selaras dengan corak permintaan perjalanan bermusim.

 

Menurut kumpulan itu, suku ketiga secara sejarahnya merupakan tempoh paling perlahan bagi perjalanan udara serantau, justeru pengurangan kapasiti dibuat bagi mengelakkan operasi berlebihan ketika permintaan lebih rendah.

 

Sebaliknya, AirAsia merancang meningkatkan semula kapasiti penerbangannya secara dinamik pada suku keempat 2026, selaras dengan tempoh permintaan perjalanan paling kukuh sepanjang tahun.

 

Bagi Thai AirAsia pula, kumpulan itu telah melindung nilai sebanyak 13% daripada penggunaan bahan api bagi suku ketiga 2026 pada harga AS$89 setong sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api.

 

Armada Dan Rangkaian Dioptimumkan Demi Keuntungan

AirAsia berkata, penyatuan operasi penerbangan jarak jauh dan jarak dekat di bawah satu kumpulan membolehkan syarikat menguruskan aset dan mengagihkan pesawat di seluruh rangkaiannya dengan lebih berkesan.

 

Ini termasuk membuat perubahan terhadap jenis pesawat yang digunakan bagi laluan tertentu, seperti menggantikan pesawat berbadan lebar A330 dengan pesawat berbadan sempit bagi laluan Kuala Lumpur-Seoul, selain menggantung sementara beberapa laluan termasuk Kuala Lumpur-Sydney dan Kuala Lumpur-Delhi.

 

Kumpulan itu berkata, keutamaan kini diberikan kepada keuntungan sebenar setiap laluan berbanding sekadar memastikan pesawat digunakan pada kadar maksimum, bagi memastikan setiap aset yang digunakan memberikan pulangan kewangan terbaik.

 

Dalam tempoh sama, AirAsia turut memulangkan 25 pesawat lama yang kurang menjimatkan penggunaan bahan api menerusi syarat komersial yang menguntungkan.

 

Langkah itu dapat mengurangkan beban pajakan dan kos tetap menjelang ketibaan pesawat baharu yang dijadualkan bermula pada 2028.

 

Farouk berkata, langkah mengurangkan kapasiti ketika permintaan rendah, memulangkan pesawat lama dan mengurangkan komitmen pajakan merupakan sebahagian daripada disiplin kewangan AirAsia untuk mengekalkan hasil penerbangan, memelihara tunai dan memastikan armada operasinya bersedia mencapai penggunaan maksimum apabila permintaan perjalanan memuncak pada suku keempat. - DagangNews.com