AIIB bekerjasama dengan Maybank, CIMB, AmBank dan BPMB bagi menyalurkan pembiayaan pembangunan sehingga AS$6 bilion seluruh ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AIIB bekerjasama dengan Maybank, CIMB, AmBank dan BPMB bagi menyalurkan pembiayaan pembangunan sehingga AS$6 bilion seluruh ASEAN

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 30 Okt  – Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) akan bekerjasama dengan Maybank, CIMB, AmBank dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) bagi memobilisasi pembiayaan sehingga AS$6 bilion untuk projek infrastruktur mampan dan berasaskan teknologi di seluruh rantau ASEAN.

 

Untuk itu satu perjanjian kerjasama telah ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

Kerjasama ini mencerminkan komitmen AIIB dalam memperkukuh infrastruktur hijau dan inklusif, meningkatkan kesalinghubungan serantau, serta merangsang penglibatan modal swasta bagi memenuhi keperluan infrastruktur yang semakin meningkat di rantau ini.

 

Dalam kenyataan AIIB membertitahu, di bawah kerjasama baharu ini, institusi terlibat akan menyokong pelaburan dalam sektor utama seperti tenaga boleh diperbaharui, penghantaran dan pengagihan kuasa, pengangkutan, infrastruktur digital dan telekomunikasi. 

 

Inisiatif ini menggabungkan kepakaran bank-bank Malaysia dalam pembangunan serta pengurusan aset infrastruktur berskala besar di peringkat serantau dengan keupayaan AIIB untuk menyediakan modal jangka panjang melalui instrumen pembiayaan hutang dan ekuiti.

 

Ketua Pegawai Pelaburan, Sektor Awam (Wilayah 1) dan Institusi Kewangan serta Dana (Global), AIIB, Kim-See Lim berkata, kerjasama ini mengesahkan komitmen bersama AIIB untuk membiayai infrastruktur yang hijau, berasaskan teknologi dan saling berhubung di peringkat serantau. 

 

"Kami berharap dapat bekerjasama untuk menyokong pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan dan berpandangan jauh di seluruh ASEAN," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global Maybank, Datuk John Chong,  berkata, melalui kerjasama ini pihaknya berhasrat mempercepat pelaburan berkualiti ke dalam ASEAN, khususnya dalam infrastruktur yang memacu pendigitalan dan memperkukuh ketahanan tenaga rantau ini melalui inisiatif seperti ASEAN Power Grid (APG), sambil memberikan impak sosial yang bermakna. 

 

"Dengan rangkaian Maybank di 10 pasaran utama ASEAN dan di China, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan pandangan pasaran tempatan serta kepakaran dalam nasihat dan pembiayaan projek. 

 

"Terdapat juga potensi untuk meneroka penyelesaian pembiayaan inovatif termasuk pembiayaan peralihan, pembiayaan campuran dan struktur Sukuk,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei, berkata, AIIB membawa kekuatan institusi pelbagai hala seperti modal jangka panjang, penarafan kredit kukuh dan keupayaan menanggung risiko awal atau dasar. 

 

"CIMB pula melengkapinya dengan hubungan mendalam di peringkat tempatan, kepakaran mata wang tempatan serta keupayaan merangka struktur untuk menjadikan projek kompleks lebih berdaya maju,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling, pula berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama AmBank dalam membiayai projek yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga mempercepat peralihan tenaga bersih dan daya tahan iklim di rantau ini. 

 

"Melalui inisiatif seperti APG, kami berhasrat memperkukuh kesalinghubungan serantau, memupuk inovasi dan menggerakkan modal swasta bagi menyokong masa depan yang lebih mampan dan inklusif,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan, Kumpulan Perbankan Korporat dan Pelaburan BPMB, Wee Yee Tat, berkata kerjasama ini mencerminkan keselarasan matlamat dalam memacu pertumbuhan mampan dan inklusif. 

 

"Sebagai institusi kewangan pembangunan Malaysia, kami komited untuk memacu pelaburan yang mempercepat peralihan tenaga dan pembangunan saksama di seluruh komuniti. 

 

"Bekerjasama dengan institusi pelbagai hala seperti AIIB membolehkan kami menggerakkan modal bagi infrastruktur berimpak tinggi yang menyokong agenda kemampanan dan daya tahan jangka panjang Malaysia,” katanya.

 

Pelaburan berkaitan ASEAN Power Grid

 

Kerjasama ini turut menyumbang kepada pembangunan inisiatif infrastruktur serantau utama seperti ASEAN Power Grid (APG) – sebuah platform rentas sempadan untuk memperkukuh salinghubungan dan keselamatan tenaga di Asia Tenggara.

 

Melalui pendekatan Program Berperingkat Pelbagai Fasa (MPA), AIIB bercadang untuk menyediakan sehingga USD2 bilion bagi pelaburan berkaitan APG dengan kerjasama sektor awam dan swasta.

 

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Mareena Mahpudz berkata, PETRA menyambut baik kerjasama ini sebagai langkah penting dalam memobilisasi pembiayaan mampan untuk mempercepat agenda infrastruktur hijau ASEAN.

 

“Melalui pelaburan bersama dalam tenaga boleh diperbaharui, penghantaran dan teknologi pintar, kita dapat memperkukuh kesalinghubungan serantau dan membina masa depan rendah karbon yang lebih berdaya tahan untuk ASEAN,” katanya.

 

Dalam pada itu majlis menandatangani perjanjian itu turut dihadiri wakil korporat dan institusi kewangan Malaysia, termasuk syarikat tenaga dan infrastruktur utama serta Pusat Tenaga ASEAN (ACE). 

 

ACE turut berkongsi tinjauan strategik mengenai APG dan perkembangan terkini hasil Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43.

 

Tempoh awal perjanjian ini adalah sehingga Oktober 2031. Kerjasama ini sejajar dengan Strategi Korporat AIIB yang memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama: infrastruktur hijau, kesalinghubungan dan kerjasama serantau, infrastruktur berasaskan teknologi serta mobilisasi modal swasta.

 

Dengan bekerjasama bersama institusi kewangan serantau yang dipercayai, AIIB terus memanfaatkan kepakaran dan pelaburan sektor swasta untuk memperluas penyelesaian mampan yang memperkukuh daya tahan iklim, keterangkuman ekonomi dan pembangunan jangka panjang rantau ini. - DagangNews.com