Ahmad Hizzad Baharuddin dilantik sebagai Pengerusi Labuan FSA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahmad Hizzad Baharuddin dilantik sebagai Pengerusi Labuan FSA

KUALA LUMPUR 13 Nov - Kementerian Kewangan (MoF) telah melantik Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin sebagai Pengerusi Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) bagi tempoh dua tahun bermula 15 November 2025 hingga 14 November 2027.

 

Ahmad Hizzad kini merupakan Pengerusi FWD Takaful Bhd dan KAF Digital Bank Bhd, selain turut menganggotai lembaga pengarah Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank).

 

Pelantikan beliau berasaskan pengalaman selama 32 tahun di Bank Negara Malaysia (BNM), di mana beliau memegang pelbagai jawatan kanan dalam bidang Perbankan dan Takaful Islam, Pembangunan Sektor Kewangan, serta Sistem dan Instrumen Pembayaran.

 

Beliau berkhidmat sebagai Penolong Gabenor BNM dari 2014 hingga bersara pada 2018.

 

Ahmad Hizzad juga pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Mizuho Bank (Malaysia) Bhd, serta berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Labuan FSA dari 2011 hingga 2017.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari St. Louis University dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari Eastern Illinois University, kedua-duanya di Amerika Syarikat.

 

Mengalu-alukan pelantikan itu, Ketua Pengarah Labuan FSA, Affendi Rashdi berkata pengalaman luas Ahmad Hizzad di BNM serta kepimpinan terdahulunya di Labuan FSA memberi beliau pemahaman mendalam terhadap Labuan International Business and Financial Centre (Labuan IBFC).

 

“Pengetahuan dan pengalaman luas beliau menjadikan Ahmad Hizzad amat sesuai untuk berkhidmat sebagai pengerusi Labuan FSA. Pihak pengurusan amat menantikan panduan beliau dalam meneruskan agenda pertumbuhan dan pembangunan Labuan IBFC,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

 

Labuan FSA turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah, pengerusi terdahulu yang bersara pada 2024, atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan. – Bernama