KUALA LUMPUR 4 Feb – Agmo Holdings Berhad melancarkan SME Hero AI, platform kecerdasan buatan (AI) tempatan yang direka untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia meningkatkan automasi operasi, membuat keputusan berdasarkan data dan berkembang dalam ekonomi digital.
Platform ini menggunakan infrastruktur awan berasaskan Malaysia dan memberi fokus kepada kepakaran tempatan, integrasi sistem sedia ada, serta pemantauan manusia bagi memastikan output AI selaras dengan peraturan dan amalan perniagaan tempatan.
Antara ciri utama platform itu termasuk hebahan yang merumuskan bagaimana dasar kerajaan menyokong pertumbuhan PKS melalui Belanjawan 2026, ramalan perniagaan Tahun Kuda Cina, serta analisis bank yang menyokong 41 format penyata daripada 19 bank tempatan untuk menghasilkan laporan perniagaan dalam masa 10 minit.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Aik Keong, SME Hero AI dibangunkan bagi menangani cabaran PKS dalam penggunaan teknologi digital termasuk pelaksanaan, tadbir urus, dan integrasi ke dalam proses perniagaan sedia ada.
“Kos mampu milik adalah prinsip reka bentuk utama, dengan harga serendah RM20 sebulan bagi setiap pengguna, membolehkan lebih ramai PKS mengakses teknologi AI bersedia perniagaan tanpa pelaburan awal yang tinggi,” katanya.
Pelancaran SME Hero AI selari dengan agenda kerajaan Malaysia, termasuk Malaysia AI Landscape, Belanjawan 2026, MyDIGITAL dan Rancangan Induk Industri 2030, yang menekankan kepentingan pendigitalan dan AI untuk meningkatkan daya saing, produktiviti serta ketahanan PKS.
Platform ini turut memanfaatkan rangkaian profesional tempatan seperti YYC taxPOD, Boss Boleh, JomeInvoice, Low & Partners, dan Kakitangan.com bagi memastikan input AI mematuhi peraturan cukai, undang-undang, akaun dan HR.
Sejak ditubuhkan pada 2017, Agmo Holdings menumpukan pada pendigitalan operasi perniagaan melalui pembangunan lebih 100 rumusan digital dan platform perkhidmatan seperti JomeInvoice, Merdeka LLM dan Agmo EV SuperApp. - DagangNews.com








