KUALA LUMPUR 17 Okt – Affin Hwang Investment Bank telah menyemak naik harga sasaran Lim Seong Hai Capital (LSH Capital) kepada RM3.40 daripada RM1.70 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 45%, sambil mengekalkan saranan BELI ke atas kaunter tersebut.
Penganalisis Affin Hwang, Loong Chee Wei, berkata penilaian lebih tinggi itu dibuat susulan unjuran positif pihak pengurusan semasa sesi jelajah pelabur baru-baru ini, yang memberikan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan kumpulan.
Katanya, penilaian baharu itu turut mengambil kira semakan naik unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027 sebanyak 27% hingga 42% didorong oleh saluran tender pembinaan kukuh berjumlah antara RM10 bilion hingga RM13 bilion.
"Selain itu pelancaran projek baharu Lake Side Homes dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.2 bilion yang dijangka meningkatkan sumbangan kepada hasil masa hadapan," katanya dalam nota penyelidikan.
Affin Hwang, menjangkakan momentum pertumbuhan LSH Capital kekal kukuh dengan prospek penglibatan dalam projek berskala besar serta permintaan berterusan dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah.
Sebelum ini LSH Capital juga telah memperoleh konsesi 20 tahun untuk mengurus, menyelenggara dan mengoperasikan Menara KL, bermula 1 April 2025, melalui syarikat usaha sama LSH Service Master (LSHSM).
Projek konsesi Menara KL memberi sumber pendapatan berulang (facility management) dan potensi monetisasi daripada aspek komersial pelancongan dan penyiaran.
LSHSM ialah usaha sama antara LSH BEST Builders dan Service Master (M) Sdn Bhd (syarikat Bumiputera yang fokus kepada kerja M&E dan penyelenggaraan bangunan). Nisbah perkongsian ialah 70:30.
LSHSM diberi hak eksklusif untuk memperbaharui, menaik taraf, menyelenggara aset dan kawasan konsesi Menara KL. Ia juga diberi hak mengutip yuran kemasukan, menyelenggara kemudahan komersial (restoran, kios, ruang acara, tempat letak kereta) dan merancang pembangunan tambahan (ruang komersial, kios baru dll).
Projek tambahan reka bentuk & pembinaan kemudahan sokongan (ancillary facilities) dianggarkan RM70.2 juta dan akan menyumbang kepada meningkatnya orderbook pembinaan LSH. - DagangNews.com








