KUALA LUMPUR 6 April - Aeon Credit Service (M) Bhd dijangka mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh bagi suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY2026), didorong oleh penambahbaikan dalam kos kredit bersih serta peruntukan yang lebih rendah.
Menurut Affin Hwang Investment Bank Bhd, keuntungan syarikat pembiayaan pengguna itu diunjurkan meningkat sebanyak 37% suku ke suku, menjelang pengumuman keputusan kewangannya yang dijadualkan pada 7 April ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan berurutan didorong oleh peruntukan yang lebih rendah selain potensi pembalikan peruntukan melibatkan pinjaman yang disusun semula di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), dengan Aeon Credit mempunyai kira-kira RM500 juta dalam bentuk penghutang berkaitan.
Sehubungan itu, Affin Hwang telah menaikkan unjuran pendapatan Aeon Credit sebanyak 4%, dengan menganggarkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM128 juta bagi suku tersebut.
Angka itu mewakili peningkatan 37.4% berbanding suku sebelumnya, namun sedikit susut 3.4% berbanding tempoh sama tahun lalu, menjadikan PATAMI bagi setahun penuh dianggarkan sekitar RM368 juta.
Dalam pada itu, kerugian daripada segmen perbankan digital syarikat dijangka kekal terkawal antara RM80 juta hingga RM90 juta, tanpa sebarang kejutan ketara.
Mengulas risiko makroekonomi, Affin Hwang berkata kenaikan harga minyak berpotensi meningkatkan indeks harga pengguna dan memberi tekanan kepada kemampuan pembayaran peminjam.
Namun, katanya, analisis menunjukkan hubungan antara inflasi dan kadar kutipan adalah terhad, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap kualiti aset syarikat.
“Amalan penilaian kredit yang berhemat serta disiplin kutipan yang konsisten menjadi faktor utama yang menyokong prestasi Aeon Credit. Justeru, pelabur tidak perlu terlalu bimbang dalam keadaan semasa,” katanya.
Walaupun harga saham syarikat berdepan tekanan kebelakangan ini susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah, Affin Hwang mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap kaunter tersebut.
Malah, harga sasaran turut disemak naik kepada RM6.70 daripada RM6.40 sebelum ini, mencerminkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan syarikat dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com








