KUALA LUMPUR 6 April – Advantech Co Ltd, peneraju global dalam bidang kecerdasan industri dan rumusan Edge, memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) strategik pada hari pembukaan Advantech ASEAN Connect Conference 2026 (APC 2026) di Pulau Pinang.
Ia adalah satu lagi komitmen syarikat untuk mempercepatkan pelaksanaan teknologi industri pintar di pasaran ASEAN.
MoU pertama dimeterai bersama Open RE Sdn. Bhd, syarikat tempatan yang memfokuskan kepada rumusan tenaga boleh diperbaharui dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS). Kerjasama ini menggabungkan platform perkakasan Edge AI dan IoT Advantech dengan perisian pengoptimuman tenaga Open RE, bertujuan meningkatkan pemantauan, prestasi, dan pengurusan kitar hayat sistem bateri.
Kedua-dua pihak merancang untuk meneroka projek perintis, tender, serta program tenaga strategik di Malaysia yang bakal membantu pengguna industri mengurangkan kos tenaga dan menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui serta kelestarian negara.
MoU kedua pula adalah bersama Get On Technology Co Ltd dari Thailand yang menumpukan pada pembangunan pasaran router selular industri Advantech dan penyelesaian berkaitan CNC. Kerjasama ini akan menyasarkan integrator sistem dalam sektor operasi industri melalui jualan bersama, seminar, bengkel, lawatan pelanggan, dan demonstrasi ‘proof-of-concept’.


Kerjasama dengan Get On Technology bertujuan mempercepat pelaksanaan penyelesaian serta memperkukuh amalan pendigitalan industri yang lebih konsisten dan boleh diskala di Thailand, tanda komitmen Advantech dalam memastikan teknologi yang dibangunkan tidak hanya terbukti dari segi teknikal tetapi juga relevan secara komersial.
MoU ketiga pula melibatkan Qonnect (BIIC Co., Ltd.) dari Thailand dan Pacific Automation Pty Ltd. dari Australia yang memberi tumpuan kepada penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance) di Australia dan seluruh ASEAN, dengan tujuan meningkatkan pemantauan peralatan dan perancangan penyelenggaraan.
Gabungan platform perkakasan Advantech, kepakaran perisian dan diagnostik Qonnect, serta sokongan pembangunan perniagaan dan teknikal Pacific Automation membolehkan penyelesaian ini meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan gangguan tidak dirancang dalam industri.
APC 2026 berlangsung dari 2 hingga 3 April 2026 di Penang Waterfront Convention Centre dengan tema “Celebrating Success, Empowering Connections”. Persidangan ini menghimpunkan eksekutif industri, pengguna akhir, rakan perniagaan, persatuan industri dan agensi kerajaan dari seluruh ASEAN.
Selain pemeteraian MoU, persidangan menampilkan ucaptama eksekutif, sesi padanan perniagaan, serta pameran WISE Co-Creation Solution Showcase yang memaparkan inovasi dalam pembuatan pintar dan peralihan tenaga.


Ia juga menawarkan lawatan ke kilang pelanggan seperti DUFU Technology dan Multitrade Asiapac, memberikan pengalaman secara langsung mengenai pelaksanaan Edge AI di dunia sebenar.
Sementara itu, Naib Presiden Sektor Automasi IoT, Advantech Co Ltd Chingpo Lin berkata transformasi industri kini semakin ditentukan oleh kemampuan untuk menterjemahkan teknologi kepada penyelesaian yang praktikal, boleh diulang dan sedia dilaksanakan.
“MoU ini mencerminkan hala tuju strategik syarikat untuk membangunkan penyelesaian standard yang bersedia pasaran,” katanya.
Pengarah Urusan Asia dan Rantau Intercontinental, Advantech Co Ltd, Vincent Chang pula berkata ASEAN kini memasuki fasa kematangan dalam transformasi industri, di mana perniagaan memerlukan penyelesaian terbukti dari segi teknikal dan relevan secara komersial.
“MoU ini mempercepat pelaksanaan yang akan memberi impak sebenar serta boleh diskala ke pasaran global,” katanya.
Ketiga-tiga MoU menandakan peralihan jelas daripada pembangunan teknologi kepada pelaksanaan sebenar dengan fokus pada penyelesaian yang standard, boleh diskala, dan mempunyai aplikasi komersial segera. Ia juga memperkukuh usaha Advantech dalam menterjemahkan keupayaan AI kepada hasil operasi yang nyata. - DagangNews.com








