KUALA LUMPUR 17 Sept – Penyedia perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam, Advancecon Holdings Berhad mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Advancecon Infra Sdn. Bhd. (AISB) menerima Surat Setuju Terima (LOA) daripada JLG Technopark Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja pembinaan dan penyiapan kerja tanah serta kerja berkaitan bagi Pakej 1 Fasa 1 di Southern Ibrahim Technopolis (IBTEC), Kulai, Johor.
Projek dengan nilai kontrak sebanyak RM66.9 juta itu menandakan kejayaan terbaharu Advancecon dalam memperkukuh kehadiran strategiknya di negeri Johor.
IBTEC merupakan pembangunan perbandaran berskala besar berkeluasan 7,290 ekar yang terletak di Sedenak, Johor.
Ia telah dikenal pasti sebagai Zon Flagship Keenam atau Zon F Iskandar Malaysia sejak tahun 2021, dan kini diangkat sebagai tunjang utama dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Pembangunan ini dijangka menjadi pemacu utama pelaburan rentas sempadan, infrastruktur digital dan perbandaran mampan di rantau selatan.
Dalam kenyataan hari ini syarikat itu memberitahu, kontrak terbaharu berkenaan menjadikan Advancecon semakin dikenali sebagai rakan strategik kerja tanah dan kejuruteraan awam di Johor, sejajar dengan aspirasi kumpulan untuk terlibat dalam projek pembangunan berimpak tinggi sejak dari fasa awal.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon Holdings Berhad, Datuk Phum Ang Kia berkata, pihaknya berbangga diberi kepercayaan untuk menyumbang kepada pembangunan asas IBTEC – sebuah bandar pintar strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura yang melambangkan aspirasi pertumbuhan negeri Johor.
"Projek ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kami di Johor, malah seiring dengan komitmen kami untuk membina infrastruktur yang menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang, kelestarian dan keterhubungan," katanya.
Advancecon turut menyatakan komitmennya untuk terus memanfaatkan kepakaran teras dalam kerja tanah, kuari, pembinaan dan tenaga boleh diperbaharui bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan pilihan utama dalam landskap pembangunan infrastruktur dan perbandaran Malaysia yang pesat berkembang. - DagangNews.com








