KUALA LUMPUR 27 Jan – Anak syarikat milik penuh Advancecon Holdings Berhad iaitu Advancecon Infra Sdn. Bhd meraih kontrak daripada Southern Catalyst Sdn. Bhd bagi pelaksanaan kerja tanah, saliran utama, kerja sampingan serta infrastruktur berkaitan untuk Fasa 1 (Pakej 1) Daerah Inovasi Southern Catalyst di Mukim Sedenak dekat Kulai, Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Advancecon berkata kontrak bernilai RM82.09 juta itu dijadualkan bermula pada 4 Februari 2026 dan dijangka siap pada 4 Mei 2027.
“Projek ini memberikan keterlihatan pendapatan kepada Advancecon sepanjang tempoh pembinaan selama 15 bulan.
“Daerah Inovasi Southern Catalyst terletak di koridor perindustrian dan inovasi Johor yang sedang berkembang pesat. Projek ini dijangka menyumbang kepada peningkatan aktiviti pembuatan, permintaan logistik serta kesan limpahan ekonomi serantau, sekaligus mengukuhkan kehadiran Advancecon di Johor,” katanya dalam makluman tersebut.
Kontrak terbaharu ini menonjolkan keupayaan Advancecon dalam menyediakan perkhidmatan rumusan kerja tanah dan kejuruteraan awam yang menyeluruh, terutamanya untuk pembangunan kawasan besar dan kompleks yang memerlukan kerja penyediaan tapak dan saliran bersepadu.
Ia juga dijangka menyumbang positif kepada buku tempahan dan pendapatan masa depan Kumpulan.
Pengarah Urusan Advancecon Holdings Berhad Phum Boon Eng berkata kontrak ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kemampuan Advancecon dalam melaksanakan projek berskala besar.
Beliau menekankan kepentingan pelaksanaan projek secara berdisiplin, pengurusan kos yang cekap serta mengekalkan piawaian keselamatan dan kualiti yang tinggi.
“Advancecon terus memilih projek secara selektif yang memanfaatkan kekuatan teras kami dalam kerja tanah dan kejuruteraan awam.
“Paling penting mengekalkan pendekatan berdisiplin terhadap pengurusan risiko dan penggunaan modal. Ini membolehkan syarikat memanfaatkan peluang pembangunan infrastruktur dan perindustrian yang stabil,” katanya. - DagangNews.com








