KUALA LUMPUR 30 Julai – ACME Holdings Bhd bercadang untuk menukar nama syarikat kepada Land 33 Bhd sebagai sebahagian daripada inisiatif penjenamaan semula bagi mencerminkan perkembangan model perniagaan serta hala tuju strategik kumpulan pada masa hadapan.
Syarikat itu berkata, cadangan nama baharu tersebut telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 28 Julai lalu dan akan kekal disimpan sehingga 27 Ogos 2026.
Pertukaran nama itu katanya, masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.
Menurut ACME, nama Land 33 Bhd dipilih kerana lebih menggambarkan identiti korporat syarikat selain selaras dengan perubahan dalam aktiviti perniagaan sedia ada dan rancangan pengembangan pada masa hadapan.
"Langkah ini juga merupakan komponen penting dalam inisiatif penjenamaan semula syarikat yang akan dilaksanakan oleh lembaga pengarah bersama barisan pengurusan kanan," katanya dalam pekeliling kepada pemegang saham yang difailkan kepada Bursa Malaysia.
ACME yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia ketika ini terlibat dalam pembangunan hartanah kediaman dan pembangunan bercampur di utara Semenanjung Malaysia, selain menjalankan perniagaan pembuatan barangan isi rumah termasuk peralatan dapur dan permainan.
Syarikat itu menjelaskan cadangan pertukaran nama tersebut tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan, pegangan saham pemegang saham utama, aset bersih (NA), nisbah penggearan mahupun pendapatan sesaham (EPS).
Cadangan berkenaan akan dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijadualkan berlangsung pada 21 Ogos 2026 di Pulau Pinang.
Sekiranya diluluskan, perlembagaan syarikat akan dipinda bagi menggantikan nama ACME Holdings Bhd kepada Land 33 Bhd.
Lembaga pengarah mengesyorkan supaya pemegang saham mengundi menyokong cadangan itu kerana percaya ia adalah demi kepentingan terbaik syarikat serta semua pemegang saham. - DagangNews.com








