99 Speed ​​Mart catat perolehan RM2.61 bilion, untung naik 7.5% kepada RM143.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

99 Speed ​​Mart catat perolehan RM2.61 bilion, untung naik 7.5% kepada RM143.2 juta

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 16 Mei - 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd, yang menyaksikan keuntungan bersihnya meningkat 7.5% pada suku pertama, mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2.25 sen sesaham — pembayaran sulungnya sejak disenaraikan di Bursa Malaysia tahun lepas.

 

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu berkata dividen itu berjumlah kira-kira RM189 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Tarikh kelayakan ditetapkan pada 29 Mei dan pembayaran akan dibuat pada 9 Jun.

 

“Pada suku ini, kami telah mengisytiharkan dividen pertama sejak disenaraikan di Bursa Malaysia tahun lepas, mencerminkan asas kewangan kami yang kukuh.

 

"Dengan dasar dividen mengagihkan kira-kira 50% daripada keuntungan bersih kami, kami berhasrat untuk mengisytiharkan dividen dua kali setahun sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham sambil memberikan nilai jangka panjang yang mampan," kata Pengasas dan CEO, Lee Thiam Wah dalam satu kenyataan.

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac (1Q25), 99 Speed ​​Mart mencatatkan peningkatan 7.5% dalam keuntungan bersih kepada RM143.2 juta, meningkat daripada RM133.1 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil bagi suku tersebut meningkat 7.6% kepada RM2.6 bilion daripada RM2.4 bilion, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 1.70 sen daripada 1.59 sen setahun lalu.

 

99 Speed ​​Mart berkata, pendapatan yang lebih tinggi itu didorong terutamanya oleh pengembangan tahun ke tahun rangkaian cawangan 246 cawangan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 2,833 cawangan setakat 31 Mac.

 

Pada suku tersebut, jumlah urus niaga jualan meningkat 7.8% kepada 119.6 juta urus niaga, dengan purata saiz bakul kekal stabil pada RM21.80.

 

"Kami berbesar hati untuk memulakan tahun kewangan dengan set keputusan yang kukuh, mencerminkan pengembangan berterusan kami dan daya tarikan 99 Bulksales yang semakin meningkat," kata Lee. - DagangNews.com