KUALA LUMPUR 6 Nov – Pemegang saham KNM Group Berhad mencapai keputusan sebulat suara untuk meluluskan cadangan penjualan Deutsche KNM GmbH (DKNM) kepada NGK Insulators Ltd dari Jepun dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan hari ini.
KNM memaklumkan, sebanyak 93.74% pemegang saham yang hadir mengundi “YA” bagi usul berkenaan, menunjukkan keyakinan tinggi terhadap hala tuju syarikat.
“Penjualan DKNM bernilai €270 juta (kira-kira RM1.3 bilion) dijangka memperkukuh kedudukan kewangan KNM dengan mengurangkan hutang dan menyediakan modal kerja bagi memulihkan operasi di Malaysia.
“KNM sangat mementingkan aspek ketelusan sepanjang EGM berlangsung dengan menjemput kumpulan pemerhati pemegang saham minoriti (MSWG) untuk bertanya terus kepada pengurusan dan mendapatkan penjelasan.
“Mesyuarat berakhir dalam suasana positif, dengan pemegang saham mengambil gambar bersama Lembaga Pengarah sebagai simbol keyakinan terhadap masa depan syarikat,” kata KNM dalam satu kenyataan.
Persetujuan pemegang saham itu adalah satu perkembangan positif untuk KNM selepas beberapa bulan berada di bawah pemantauan Bank Negara Malaysia berkaitan beberapa isu sebelum ini.
Untuk rekod, pada 28 Oktober 2025, Bursa Malaysia Securities Bhd mengambil tindakan undang-undang terhadap KNM berhubung pertikaian mengenai cadangan penjualan unit syarikat itu di Jerman.
Bursa juga memohon perintah mahkamah untuk menghalang MAA Group dan CIMSEC Nominees daripada mengadakan EGM bagi membincangkan cadangan penjualan keseluruhan kepentingan KNM Process Systems dalam Deutsche KNM GmbH.
ARTIKEL BERKAITAN: Bursa heret KNM ke mahkamah berhubung pertikaian penjualan Deutsche KNM GmbH bernilai €270 juta
KNM dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia Securities pada 5 November 2025 susulan penolakan pelan penstrukturan semula oleh pihak bursa.
Keputusan itu bagaimanapun disifatkan KNM bukan sebagai langkah ke belakang kerana nyahsenarai diperlukan untuk menyempurnakan penjualan kepada NGK, menghapuskan hutang, dan memulihkan pertumbuhan syarikat.
ARTIKEL BERKAITAN: KNM bertegas teruskan EGM walaupun dibantah Bursa Malaysia
Sementara itu, Pengerusi KNM, Tunku Datuk Yaacob Khyra menyifatkan kelulusan pemegang saham itu sebagai langkah besar dalam transformasi KNM.
"Persetujuan untuk menjual DKNM kepada NGK adalah langkah besar ke arah transformasi KNM Group dan sokongan besar daripada pemegang saham hari ini adalah syarat terakhir yang perlu dipenuhi sebagai kunci untuk memeterai perjanjian ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif KNM, Ravindrasingham Balasingham turut menyatakan penghargaan kepada pemegang saham atas kepercayaan dan sokongan mereka yang berterusan selama ini.
"Kelulusan ini menandakan langkah penting dalam memulihkan kesihatan kewangan KNM dan meletakkan asas untuk pertumbuhan mampan.
“Kami berterima kasih kepada pemegang saham atas keyakinan mereka serta kepada semua pihak berkepentingan yang telah berdiri bersama KNM sepanjang perjalanan ini,” katanya.
KNM, yang disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2003, merupakan kumpulan multinasional yang beroperasi di lapan negara dengan kepakaran dalam projek, kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, kuasa, utiliti, penapisan dan petrokimia. - DagangNews.com








