KUALA LUMPUR 30 Okt – Majikan di Malaysia kini berdepan cabaran lebih besar untuk mencari pekerja berbakat terbaik kerana semakin ramai profesional memilih tawaran kerja berdasarkan jaminan pekerjaan berbanding gaji, menurut firma pengambilan tenaga kerja antarabangsa, Robert Walters.
Tinjuan itu dijalankan pada September 2025 melalui LinkedIn, melibatkan lebih 600 syarikat dan profesional di Asia Tenggara termasuk kira-kira 60 syarikat dan 150 profesional dari Malaysia.
Robert Walters berkata, sebanyak 89% syarikat melaporkan peningkatan dalam penolakan tawaran kerja pada tahun ini.
Kajian itu turut mendedahkan 92% profesional di Malaysia mengutamakan kestabilan pekerjaan berbanding tawaran gaji, manakala 79% menyatakan keadaan ekonomi semasa turut mempengaruhi keputusan mereka untuk berpindah kerja.
Pengarah Robert Walters Malaysia, Gan Hua Choon berkata, trend ini menunjukkan perubahan tingkah laku tenaga kerja yang lebih berhati-hati dan memilih organisasi yang kukuh serta mempunyai hala tuju pertumbuhan jelas.
“Profesional kini mencari syarikat yang stabil, diterajui kepimpinan yang meyakinkan dan mampu menyediakan prospek kerjaya jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kira-kira 31% penolakan tawaran kerja berlaku disebabkan kebimbangan terhadap kestabilan syarikat, manakala 48% berpunca daripada tawaran gaji tidak sesuai atau budaya organisasi.
Beliau berkata, walaupun jaminan keselamatan kerja perlu diberi tumpuan, pekerja masih perlu mempunyai ruang untuk bergerak dalam pasaran supaya negara kekal inovatif dan berdaya saing.
Di sebalik situasi itu, permintaan terhadap tenaga mahir di Malaysia terus meningkat, khususnya dalam sektor teknologi dan perkhidmatan bernilai tinggi.
Robert Walters menjangkakan pelaburan besar Malaysia bernilai US$40 bilion (RM169.2 bilion) dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data menjelang 2030 bakal memperkukuh permintaan terhadap bakat dalam bidang pengkomputeran awan, sains data, analitik serta keselamatan siber. - DagangNews.com








