90 peratus organisasi alami 'keletihan siber', Belanjawan 2026 kukuhkan kesiagaan - Sophos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

90 peratus organisasi alami 'keletihan siber', Belanjawan 2026 kukuhkan kesiagaan - Sophos

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kajian terbaharu berkaitan keselamatan siber menunjukkan 90% organisasi di Malaysia kini mengalami 'keletihan' dalam menangani ancaman tersebut, kata Pengarah Urusan Sophos bagi wilayah ASEAN, China dan Korea, Malis Selamat.

 

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penekanan Belanjawan 2026 dalam ekonomi digital negara sebagai hadir tepat pada waktunya bagi menangani cabaran ini secara langsung.

 

Katanya, laporan terbaharu 'Masa Depan Keselamatan Siber di Asia Pasifik dan Jepun 2025' mendapati keletihan siber itu didorong oleh peningkatan ancaman siber, kekurangan sumber tenaga kerja mahir, serta strategi keselamatan yang masih tidak jelas.

 

"Kesan keletihan siber bukan sekadar pada sistem, tetapi turut menjejaskan produktiviti tenaga kerja. Kajian kami menunjukkan organisasi di Malaysia kehilangan purata 5.6 jam seminggu setiap pekerja akibat tekanan dan keletihan, peningkatan berbanding tahun lalu," katanya dalam kenyataan sebagai reaksi pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini.

 

Bagaimapun beliau berkata, di sebalik keletihan siber itu organisasi kekal fokus kepada ketahanan dengan 93% merancang untuk meningkatkan bajet keselamatan siber dan lebih 25 peratus daripada jumlah itu menyasarkan pertumbuhan dua digit dalam bajet tersebut.

 

Sehubungan itu Malis berkata, Sophos sebuah syarikat keselamatan siber global mengalu-alukan inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2026 untuk memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber negara menerusi pelaksanaan beberapa langkah antaranya penggubalan Rang Undang-Undang Jenayah Siber (RUU Jenayah Siber) bagi menangani ancaman secara menyeluruh.

 

Selain itu penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi di bawah NACSA untuk memperkasa kedaulatan digital negara dan peruntukan RM12 juta kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), yang kini diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi mempertingkat pengendalian kes penipuan kewangan.

 

Tambahnya, langkah-langkah ini membuktikan kesedaran kerajaan keselamatan siber adalah nadi kepada kelangsungan kemajuan digital negara.

 

Malis berkata, dalam era ekonomi digital, keselamatan siber bukan lagi isu teknikal semata-mata, sebaliknya ia kini menjadi keutamaan strategik dan budaya nasional.

 

"Dengan gabungan dasar yang tepat, pelaburan bersasar, serta kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta, Malaysia mampu melindungi ekonomi digitalnya dan menjadi penanda aras keselamatan siber di peringkat ASEAN dan global," katanya.

 

Mengenai kecerdasan buatan (AI), teknologi itu kini sedang merevolusikan landskap keselamatan siber di Malaysia dengan 91 peratus organisasi menggunakan alat seperti ChatGPT, copilots dan agentic AI dan 78 peratus daripada mereka telah mempunyai strategi AI secara formal.

 

Namun, penggunaan AI ini turut mencetuskan risiko baharu apabila 36 peratus organisasi melaporkan penggunaan AI secara senyap (shadow AI) dan 13 peratus tidak pasti sama ada AI digunakan dalam persekitaran mereka.

 

"Kekurangan kawal selia dan pemantauan ini menekankan keperluan mendesak untuk tadbir urus dan akauntabiliti yang kukuh dalam penggunaan AI," katanya. - DagangNews.com