80% buku tempahan Sunway Construction dari pusat data: Risiko kos, kelewatan dikhuatiri jejas keuntungan – CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

80% buku tempahan Sunway Construction dari pusat data: Risiko kos, kelewatan dikhuatiri jejas keuntungan – CGSI

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb – Sunway Construction Group Bhd berdepan beberapa risiko utama meskipun prospek pertumbuhan kekal positif bagi tahun kewangan 2026, kata CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata beberapa risiko tersebut termasuk kelewatan pengiktirafan pendapatan daripada projek sedia ada, kenaikan kos bahan binaan dan tenaga kerja yang boleh menjejaskan margin keuntungan syarikat.

 

Namun CGSI berkata syarikat itu dijangka terus mencatatkan prestasi kukuh dengan sokongan daripada projek data center (DC) yang semakin meluas sejak akhir-akhir ini.

 

“Setakat Januari 2026, buku tempahan Sunway Construction adalah sebanyak RM18 bilion, di mana 80% daripadanya adalah projek pusat data termasuk tiga pelanggan baru, memberi keterlihatan projek yang tinggi untuk FY26F.

 

“Syarikat itu menetapkan sasaran tempahan baru antara RM4.5 bilion hingga RM6 bilion bagi FY26F, selaras dengan rekod pesanan RM5.2 bilion pada FY25. Kejayaan menambah pelanggan baharu dan projek DC tambahan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan pendapatan syarikat,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Syarikat itu dijangka mengumumkan keputusan kewangan suku keempat FY25 pada 23 Februari ini, dengan jangkaan suku yang memberangsangkan susulan penyiapan awal projek DC JHB1XO yang telah diserahkan pada November 2025. 

 

Peningkatan EPS FY25, FY26, dan FY27 dijangka masing-masing sebanyak 11%, 2%, dan 3%.

 

CGSI berkata Sunway Construction kekal komited untuk membayar dividen 100% bagi FY26F, dengan unjuran hasil dividen sekitar 5%. 

 

“Kedudukan kewangan yang kukuh dengan tunai bersih RM1,786 juta pada September 2025 membolehkan syarikat mengambil projek berprofil tinggi dan memberi syarat bayaran yang menarik kepada pelanggan DC.

 

“Selain projek DC, Sunway Construction juga mempunyai projek dalaman yang menarik termasuk pengembangan hospital Sunway. Syarikat turut membida projek LRT di Pulau Pinang, yang dijangka ditutup pada April 2026.

 

CGSI berkata perniagaan komponen konkrit pra siap Sunway Construction turut menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dengan buku pesanan sebanyak RM880 juta setakat Disember 2025, meningkat daripada RM502 juta pada FY23-FY24. 

 

“Ini memberikan jaminan pendapatan selama 2–3 tahun akan datang serta menjadi enjin pertumbuhan tambahan bagi syarikat.

 

“Kemenangan projek DC baharu dan kontrak kerajaan boleh menjadi pemangkin kenaikan harga saham. Selain itu, pertumbuhan projek infrastruktur awam dan projek dalaman Sunway Constuction juga dijangka menyokong pertumbuhan dividen,” katanya. - DagangNews.com