61 organisasi bantah ujian lapangan padi diubah genetik MR219 di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

61 organisasi bantah ujian lapangan padi diubah genetik MR219 di Perak

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Sebanyak 61 organisasi dan kumpulan yang mewakili kepentingan petani, pengguna serta alam sekitar membantah cadangan untuk menjalankan ujian lapangan terkawal padi diubah suai secara genetik (GMO) varieti MR219 di Kampung Kepayang, Perak.

 

Gabungan berkenaan berkata, bantahan rasmi telah dikemukakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Biokeselamatan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 7 Ogos 2026 menerusi laman sesawang Konsultasi Awam Bersepadu (UPC).

 

Jurucakap kumpulan berkenaan, Abdul Rashid Yob berkata, permohonan itu adalah sama seperti permohonan ujian lapangan GMO MR219 pada 2019 di Tambun Tulang, Perlis, yang turut menerima bantahan.

 

Menurutnya, MR219 telah diubah suai secara genetik bagi memberikan ketahanan terhadap racun herba glifosat, selain ketahanan terhadap penyakit yang disebabkan bakteria dan kulat.

 

“Risiko pencemaran genetik terhadap padi konvensional dan padi liar apabila ditanam di lapangan amat membimbangkan.

 

“Akta Biokeselamatan 2007 juga tidak menyediakan perlindungan berkanun yang mencukupi atau liabiliti undang-undang dan mekanisme ganti rugi kepada petani sekiranya berlaku kerugian ekonomi akibat pencemaran GMO,” katanya dalam kenyataan.

 

Beban Kewangan

Gabungan itu berkata, sekiranya berlaku pencemaran, beban kewangan berpotensi ditanggung sepenuhnya oleh petani yang terjejas.

 

Pada masa sama, pengubahsuaian MR219 untuk toleransi terhadap glifosat didakwa berpotensi menggalakkan penggunaan bahan kimia pertanian tersebut.

 

Mereka mendakwa, tumbuhan berkenaan menyerap glifosat ke dalam tisu dan tidak menguraikannya, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung kemungkinan kewujudan sisa bahan berkenaan dalam hasil tuaian.

 

Mereka turut memetik lembaran fakta Jabatan Biokeselamatan yang menyatakan data toksikologi akut bagi padi GMO berkenaan masih belum tersedia.

 

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) pula dikatakan telah menolak padi GM MR219 sejak 2019.

 

Gabungan itu turut mengambil contoh varieti Clearfield, iaitu padi yang mempunyai ketahanan terhadap racun herba, apabila rumpai didakwa membina ketahanan terhadap racun herba sehingga memerlukan penggunaan dos racun perosak yang lebih tinggi.

 

Keadaan tersebut, menurut mereka, boleh meningkatkan kos pengeluaran petani serta menjejaskan kesuburan tanah.

 

Jejas Biodiversiti Ekosistem Sawah Padi

Mereka turut mendakwa penggunaan glifosat boleh memberi kesan negatif terhadap mikroorganisma tanah dan biodiversiti ekosistem sawah padi.

 

Dari perspektif perdagangan, sebarang insiden pencemaran juga dikhuatiri menjejaskan pengeluaran organik tempatan serta pasaran eksport, termasuk dengan mengambil iktibar daripada kes penolakan beras eksport China oleh pasaran Eropah pada 2008.

 

Bagaimanapun, gabungan tersebut berkata terdapat kaedah alternatif bagi pengurusan rumpai dan penyakit, termasuk Sistem Keamatan Padi (SRI) serta kaedah alternatif dan konvensional lain yang tidak bergantung kepada pengubahsuaian genetik.

 

Walaupun permohonan itu hanya membabitkan ujian lapangan terkawal, mereka berpandangan penyelidikan berkenaan perlu dibatalkan kerana organisma yang diubah suai secara genetik tidak boleh dikawal, dibendung atau ditarik balik sepenuhnya selepas dilepaskan ke alam sekitar.

 

“Gen yang diubah suai berpotensi kekal dan tersebar melalui pendebungaan silang serta percambahan, selain tanaman GMO boleh bercampur dengan tanaman bukan GMO ketika proses penuaian, penyimpanan atau pengangkutan,” katanya.

 

Gabungan itu turut mempersoalkan rasional penyelidikan tersebut ketika permintaan pengguna terhadap makanan organik semakin meningkat. - DagangNews.com