40% daripada 6,655 isi rumah B40 jana pendapatan lebih RM2,000 melalui program Inisiatif Pendapatan Rakyat - Kementerian Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

40% daripada 6,655 isi rumah B40 jana pendapatan lebih RM2,000 melalui program Inisiatif Pendapatan Rakyat - Kementerian Ekonomi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Nov – Seramai 6,655 individu daripada golongan B40, miskin dan miskin tegar di seluruh negara telah menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) setakat 21 Oktober 2025, menurut Kementerian Ekonomi.

 

Daripada jumlah itu, lebih 40% daripada peserta program berkenaan berjaya mencatat jualan bulanan melebihi RM2,000, membuktikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif tersebut.

 

Menurut kementerian, peserta program akan dipantau secara berkala selama 24 bulan. 

 

“Sekiranya didapati menghadapi kesukaran untuk meningkatkan pendapatan secara konsisten, intervensi sewajarnya akan dilaksanakan untuk membantu mereka.

 

“Kerajaan mensasarkan agar peserta mampu mengurus aktiviti penjanaan pendapatan secara berdikari selepas tempoh pemantauan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Parlimen.

 

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN–Bera) berhubung kedudukan kemiskinan tegar mengikut negeri serta jumlah peserta IPR yang berjaya keluar daripada kategori tersebut dan bilangan usahawan yang telah dihasilkan melalui program itu.

 

Bagi memastikan golongan sasar tidak kembali kepada kemiskinan, kerajaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dan literasi kewangan. 

 

Di bawah program IPR, Kementerian Ekonomi bersama Universiti Teknologi MARA telah menyediakan kursus literasi kewangan bagi memastikan kelestarian jangka panjang pendapatan peserta.

 

Merujuk kepada Bank Data Kemiskinan Nasional eKasih, kementerian memaklumkan sebanyak 78,240 isi rumah diklasifikasikan sebagai miskin tegar pada Januari tahun ini. 

 

“Namun, angka tersebut menunjukkan penurunan drastik kepada hanya 10 isi rumah setakat Ogos, yang kesemuanya berada di Kelantan,” kata kementerian itu.- DagangNews.com