KUALA LUMPUR 23 April – 3REN Berhad, penyedia rumusan automasi dan perkhidmatan kejuruteraan menerusi Sophic Automation Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Wawasan Open University (WOU) bagi meneroka kerjasama melalui pelaksanaan program pembelajaran berasaskan kerja (work-based learning).
Menerusi MoU tersebut, WOU berpeluang menawarkan program tersebut kepada pelajarnya, sekali gus membolehkan mereka menggunakan pengetahuan akademik dalam situasi dunia sebenar, meningkatkan profil kemahiran serta memperoleh pengalaman kerja industri dengan kehendak pasaran semasa.
Bagi pihak 3REN pula, inisiatif itu dijangka menjadi platform penting dalam memenuhi keperluan tenaga kerja jangka panjang selain membina sinergi mampan bersama WOU dalam pembangunan modal insan negara.
Penyelarasan matlamat strategik itu bakal menyumbang kepada usaha berterusan dalam membentuk bakat masa hadapan yang bersedia menyokong keperluan industri Malaysia yang semakin kompleks dan berinovasi.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 3REN, Koh Dim Kuan berkata, kerjasama itu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang penting dalam memastikan kelestarian dan daya saing industri teknologi negara.
"Ekosistem dinamik Pulau Pinang merupakan hab teknologi, inovasi, dan pembuatan termaju, kerjasama strategik ini bukan sahaja menyokong keperluan tenaga kerja semasa, malah memperkukuh asas ekosistem teknologi tempatan.
"Menerusi program ini, kami secara proaktif memupuk bakat berkemahiran tinggi yang mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas global untuk dekad akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerjasama itu menyerlahkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk memastikan negara terus berada di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi dan kemakmuran ekonomi jangka panjang.- DagangNews.com








