2026 tahun pelaksanaan agenda pembaharuan dan pembangunan kerajaan - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

2026 tahun pelaksanaan agenda pembaharuan dan pembangunan kerajaan - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR 15 Jan - Tahun 2026 menandakan pelaksanaan agenda pembaharuan dan pembangunan kerajaan, dengan kesannya sudah mula dirasai oleh isi rumah, perniagaan dan ekonomi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata momentum itu dipacu oleh permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menetapkan hala tuju ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan, bernilai tinggi dan inklusif.

 

 

 

 

 

 

“Tahun lalu merupakan tahun perancangan dan komitmen, di mana kami memperjelaskan hala tuju, memusatkan semula dasar kepada hasil yang mengutamakan rakyat, serta mengukuhkan ‘Ekonomi Madani’ sebagai falsafah pentadbiran,” katanya dalam ucaptama pada persidangan tahunan pemaju hartanah, “The CEO Series 2026”, anjuran Institut REHDA di sini pada Khamis.

 

Amir Hamzah

 

Menteri itu berkata peranan kerajaan adalah sebagai pemudah cara, dengan menyediakan kestabilan fiskal, inisiatif strategik seperti Program Pengaktifan dan Pembaharuan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), serta infrastruktur yang membolehkan perusahaan berkembang maju.

 

“Ramai daripada anda kini sedang menavigasi ekonomi baharu, beralih kepada sumber pendapatan berulang, pembangunan kawasan kesejahteraan dan bank tanah pusat data, sambil mengurus landskap global yang semakin kompleks.

 

“Dalam persekitaran ini, tanggungjawab kerajaan adalah untuk menyediakan kestabilan dan kejelasan yang kukuh, supaya keputusan komitmen jangka panjang dapat dibuat dengan penuh keyakinan,” katanya.

 

Amir Hamzah berkata menerusi inisiatif GEAR-uP, kerajaan bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan bagi menggerakkan pelaburan domestik berjumlah RM120 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Beliau menegaskan hasrat kerajaan adalah jelas, iaitu memastikan modal nasional berkhidmat untuk kepentingan nasional, digunakan secara pemangkin bagi menyokong industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi yang akan menentukan masa depan negara.

 

“Kami mahu pelaburan berakar umbi di sini, di tanah air sendiri, mewujudkan nilai yang kekal memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat Malaysia.

 

“Kami tidak mencari modal yang sekadar singgah, sebaliknya kami mencari modal yang membina, kekal dan berdaya tahan,” kata Amir Hamzah.

 

Beliau turut menekankan ketika negara melangkah ke Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan sasaran bercita-cita tinggi sebanyak 47 juta pelawat dan RM329 bilion hasil pelancongan, ia mencerminkan skala peluang besar untuk pekerjaan, perusahaan kecil dan sederhana serta komuniti tempatan di seluruh Malaysia.

 

 

 

 

“Bagi sektor hartanah dan hospitaliti, ini adalah peluang yang perlu dilihat melalui lensa ekonomi pengalaman.

 

“Tahun Melawat Malaysia 2026 bukan sekadar mengalu-alukan lebih ramai pelawat, tetapi mengalu-alukan mereka dengan lebih baik. Melalui reka bentuk yang teliti, kecemerlangan perkhidmatan dan keprihatinan, kita akan menampilkan yang terbaik tentang Malaysia,” katanya. - BERNAMA