KUALA LUMPUR 9 Okt - Seramai 15.7 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah menerima bantuan sekali bayar Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sejak mula disalurkan pada 31 Ogos 2025 sehingga 6 Oktober 2025, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Angka itu mewakili 71 peratus daripada keseluruhan 22 juta penerima bantuan SARA dan jumlah nilai transaksi setakat ini telah mencecah RM1.34 bilion.
"Sistem pembayaran SARA telah melalui peningkatan ketara bagi mengendalikan lonjakan transaksi susulan pelaksanaan Penghargaan SARA dan bantuan bulanan SARA untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
MoF menjawab soalan daripada Khoo Poay Tiong (PH–Kota Melaka), yang meminta kementerian menjelaskan isu utama yang dihadapi oleh para peruncit dan orang awam berkaitan pelaksanaan bantuan SARA sekali bayar sebanyak RM100, serta langkah segera yang diambil kerajaan bagi memudahkan inisiatif tersebut.
Menurut MoF, sistem pembayaran SARA yang sebelum ini hanya mampu mengendalikan 540 transaksi yang diluluskan setiap minit pada April 2025, kini mampu memproses hampir 2,700 transaksi yang diluluskan setiap minit dengan lancar.
Menjawab soalan daripada Datuk Seri Hamzah Bin Zainudin (PN–Larut), MoF berkata, kerajaan kekal yakin untuk mencapai sasaran defisit fiskal tahun 2025 iaitu sebanyak 3.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), walaupun berdepan risiko berterusan daripada bantuan tunai dan pembaharuan subsidi.
“Ini termasuk ketidaktentuan geopolitik global dan pelaksanaan tarif import oleh Amerika Syarikat, yang boleh menjejaskan perdagangan global.
“Semua bantuan dan program kerajaan sedang dilaksanakan melalui pengurusan fiskal yang berhemah serta dasar monetari yang responsif, yang telah mewujudkan ruang dasar yang mencukupi untuk menyokong kestabilan dan daya tahan ekonomi negara,” tambah kementerian itu. - DagangNews.com








