KUALA LUMPUR 26 Feb - Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti kewangan pentadbiran antara RM1,500 hingga RM2,000 terhadap 13 pemegang lesen perniagaan perkhidmatan wang kerana gagal memenuhi keperluan dana modal minimum bagi tempoh Julai hingga Disember 2025.
Syarikat tersebut ialah:
Foo In Sdn Bhd
Starling Peak International Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Hijarah Traders Sdn Bhd)
Tukaran Baik Sdn Bhd
DB Global Exchange Sdn Bhd
Best Rate Galaxy Sdn Bhd
First Million Avenue Sdn Bhd
Popular Forex Sdn Bhd
Kabir Exchange Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Cendral Sdn Bhd)
Mubarak Forex Exchange Sdn Bhd
True Ringgit Sdn Bhd
Alif Money Changer Sdn Bhd
Heng Loong Money Changer Sdn Bhd
Chop Soon Sheng Sdn Bhd
Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata, pengekalan dana modal yang mencukupi adalah penting bagi memastikan kesinambungan dan kemampanan perniagaan dalam memenuhi permintaan orang ramai terhadap perkhidmatan perniagaan perkhidmatan wang.
“Dalam menentukan jumlah penalti kewangan pentadbiran, bilangan ketidakpatuhan serta rekod pematuhan terdahulu pemegang lesen telah diambil kira,” kata BNM.
Kesemua 13 pemegang lesen terbabit telah menjelaskan penalti yang dikenakan dan mengambil langkah pembetulan termasuk meningkatkan dana modal masing-masing.
Menurut BNM, tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam rangka kerja penguatkuasaan yang diterbitkan.
“BNM mengkehendaki semua pemegang lesen memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan perundangan dan kawal selia.
“BNM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya mana-mana pemegang lesen gagal mematuhi keperluan perundangan dan/atau kawal selia,” katanya. - BERNAMA








