KUALA LUMPUR 4 Julai - Cadangan terbitan bonus FGV Holdings Bhd baru-baru ini dilihat sebagai satu langkah positif memandangkan langkah tersebut membolehkan pemegang saham sedia ada mengimbangi semula pendedahan portfolio mereka dalam syarikat itu, menurut penganalisis.
Pada 30 Jun lalu, syarikat pertanian dan komoditi pertanian itu bercadang menerbitkan bonus sehingga 364.8 juta saham keutamaan boleh tebus Islam (RPS-i) baharu berdasarkan satu FGV RPS-i bagi setiap 10 saham biasa sedia ada, dengan harga terbitan sebanyak 10 sen sesaham.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata penyelesaian terbitan bonus itu dijangka berlaku pada suku keempat 2023.
“Kami positif dengan perkembangan terkini memandangkan pelaksanaan tersebut membolehkan pemegang saham sedia ada mengimbangi semula pendedahan portfolio mereka dalam FGV berdasarkan selera risiko dan keutamaan pelaburan masing-masing, seterusnya memperluaskan asas pegangan saham FGV,” katanya dalam nota penyelidikan semalam.
Menurut firma itu, penyenaraian dan sebut harga berasingan FGV RPS-i di Pasaran Utama Bursa Malaysia bakal membolehkan pemegang saham berdagang saham keutamaan ini.
“Selain daripada menangani keperluan pegangan saham awam, cadangan terbitan bonus itu mendedahkan pemegang saham FGV kepada keuntungan boleh agih syarikat utama di bawah FGV yang terlibat dalam aktiviti perladangan huluan, iaitu FGV Plantations (M) Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh tidak langsung) dan FGV Palm Industries Sdn Bhd (anak syarikat tidak langsung 72%),” jelasnya.
Oleh itu, HLIB mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap saham FGV dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.28 sesaham.
Sebaliknya, TA Securities telah menurunkan taraf saham kepada ‘jual’ daripada ‘pegang’ berikutan peningkatan terhad dengan TP RM1.45 sesaham.
TA Securities berpendapat bahawa cadangan terbitan bonus tersebut tidak dijangka mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pendapatan sesaham (EPS) FGV disebabkan saham tersebut tidak akan ditukar kepada saham FGV.
“Kami positif terhadap cadangan itu kerana ia boleh membantu FGV menangani kekurangan tebaran pegangan saham awam.
“Sebagai imbasan, FGV telah menerima lanjutan keempat daripada Bursa Malaysia untuk mematuhi tebaran pegangan saham awam minimum menjelang September 2023,” ujarnya dalam nota penyelidikan.
Firma itu berkata Felda yang memegang 81.9% daripada saham FGV berhasrat untuk melupuskan sejumlah saham FGV yang mungkin diperlukan bagi membolehkan FGV mematuhi penyebaran awam selepas selesai terbitan bonus. - DagangNews.com








