Tentera Darat tunggu kelulusan kewangan kerajaan untuk gantikan Radpanzer Condor | DagangNews Skip to main content

Tentera Darat tunggu kelulusan kewangan kerajaan untuk gantikan Radpanzer Condor

Kenderaan Pars III 6x6 antara calon menggantikan Radpanzer Condor.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 26 Jan - Pembelian kenderaan perisai untuk menggantikan APC Radpanzer Condor Tentera Darat dijangka mengambil lebih masa berikutan kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) masih belum diperoleh.

 

Ia berkaitan kaedah perolehan yang akan dilaksana membabitkan pembelian sebanyak 136 buah kenderaan perisai baharu tersebut.

 

Jumlah ini bagi menampung keperluan dua buah rejimen dalam Kor Armor Diraja selaku pengguna utama untuk menggantikan APC Radpanzer Condor.

 

Walaupun setelah kelulusan perolehan diterima, proses untuk menerima kenderaan-kenderaan ini pula akan mengambil masa yang panjang iaitu antara dua hingga empat tahun.

 

APC
APC Radpanzer Condor.

 

Ini ada proses biasa dalam perolehan kenderaan tempur yang mana syarikat diberi kontrak memerlukan masa untuk menyiapkan, menguji dan menghantar tempahan.

 

Jika melihat pada keperluan, Tentera Darat sepatutnya mendapatkan 224 buah kenderaan APC atau yang setaraf dalam kelasnya untuk menggantikan APC Radpanzer Condor.

 

Bermakna, pembelian 136 buah kenderaan perisai ini hanyalah sebahagian daripada yang diperlukan.

 

Tentera Darat sejak 10 tahun lalu secara berperingkat-peringkat telah menamatkan sejumlah kenderaan ini dalam pegangan disebabkan faktor usia serta tidak kompetitif untuk dinaik taraf.

 

APC
Kenderaan Pars III 6x6 semasa dipamerkan pada DSA 2018 di Kuala Lumpur.

 

APC Radpanzer Condor yang dibeli pada tahun 1981-1984 untuk dioperasikan oleh pasukan Kor Armor Diraja dan batalion infanteri mekanis.

 

Sebelum ini pada Oktober 2022, kerajaan waktu itu telah mengumumkan sebanyak 136 kenderaan jenis A 4x4 akan dibeli menerusi peruntukan pada Bajet 2023.

 

Perolehan sebanyak RM2.049 bilion ini juga turut melibatkan pelbagai kenderaan jenis B bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat.

 

Bagaimana pun, peruntukan untuk kenderaan tersebut tidak dimasukkan dalam belanjawan sebenar.

 

Semasa pembentangan Belanjawan 2024 lepas, Kementerian Pertahanan (Mindef) ada mengumumkan aset iaitu 60 kenderaan perisai infanteri dan 50 High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLT).

 

APC
Kenderaan Oshkosh JLTV turut mengintai peluang dalam kontrak pengganti Radpanzer Condor.

 

Perolehan menerusi sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM19.7 bilion ini bagaimana pun difahamkan bukan bagi penggantian keseluruhan APC Radpanzer Condor.

 

Selain itu pada tahun Tentera Darat juga akan membuat perolehan kenderaan perisai bagi kegunaan MALBATT di Lubnan dan akan menilai semula keperluan bagi tahun berikutnya.

 

Rancangan penggantian APC Radpanzer Condor mula disebut sejak enam tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut beberapa firma pertahanan luar negara tampil dengan tawaran masing-masing.

 

Bagaimana pun, perubahan masa dan trend menyaksikan model-model berpotensi sebagai pengganti berubah apabila tidak terhad kepada kenderaan APC atau perisai jenis empat atau enam roda.

 

Ini termasuklah kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4) Tarantula buatan syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (Mildef).

 

APC
HMAV Tarantula.

 

Apc

 

Penggunaan kenderaan HMAV kini menjadi trend dalam kalangan pasukan tentera khususnya infantri kerana mempunyai perlindungan perisai yang lebih baik.

 

Cuma, jika Tentera Darat mahu kenderaan perisai yang setanding dengan APC Radpanzer Condor, semestinya perisai jenis enam roda lebih sesuai kerana mempunyai lebih keupayaan berbanding HMAV.

 

Dengan reka bentuk yang lebih spesifik sebagai jentera untuk bertempur, kenderaan jenis ini boleh membawa lebih beban serta dipasang dengan persenjataan meriam kaliber sederhana atau lebih besar. - DagangNews.com