KUALA LUMPUR 24 Nov - Pasaran buruh negara terus berkembang pada suku ketiga 2023, mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi pada 70.1%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan permintaan buruh yang didorong industri dipengaruhi peningkatan bagi guna tenaga yang disumbangkan perkembangan dalam pasaran domestik, seterusnya membawa kepada situasi pengangguran yang lebih baik.
"Di sebalik ketidaktentuan landskap ekonomi global, ekonomi Malaysia berkembang 3.3% pada suku ketiga 2023, setelah mencatatkan pertumbuhan 2.9% pada suku sebelumnya," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Selaras dengan pertumbuhan ekonomi, penawaran buruh kekal kukuh apabila kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.7 mata peratus tahun ke tahun kepada 70.1%.
Bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 2.3% untuk merekodkan 16.82 juta orang, terutamanya disumbangkan kenaikan 2.7% dalam penduduk bekerja, yang merangkumi 16.25 juta orang pada suku ketiga 2023 (ST3 2022: 15.83 juta).
Pada masa sama, bilangan penganggur berkurang 6.3% kepada 573,100 orang (ST3 2022: 611,800), mencatatkan kadar pengangguran negara pada 3.4%, dilihat secara beransur-ansur kembali ke tahap prapandemik (ST3 2022: 3.7%, ST4 2019: 3.2%).
Mohd Uzir berkata, jawatan dalam sektor ekonomi meningkat sebanyak 2.6% kepada 8.9 juta jawatan (ST3 2022: 8.68 juta).

Katanya, jawatan diisi merangkumi 97.9% daripada jumlah jawatan meningkat sebanyak 2.7% kepada 8.71 juta manakala peluang pekerjaan dalam ekonomi ditunjukkan bilangan kekosongan jawatan yang menyumbang 2.1% daripada jawatan, menurun sedikit 0.2% kepada 190,900 kekosongan.
"Lebih separuh daripada kekosongan pada suku ketiga tahun 2023 adalah dalam sektor pembuatan, yang menyumbang 107,900 kekosongan, sebahagian besarnya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optik yang merekodkan 33,800 kekosongan jawatan.
"Situasi permintaan buruh yang stabil pada suku tersebut juga ditunjukkan peningkatan 4.8% bagi bilangan pewujudan jawatan untuk memenuhi keperluan industri, merangkumi 32,000," katanya.
Seiring perkembangan ekonomi pada suku ketiga tahun 2023, produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per pekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus (ST2 2023: 0.02%) berbanding suku yang sama tahun lepas kepada RM24,465 per pekerja (ST3 2022: RM24,312; ST2 2023: RM23,407).
Pada masa sama, jumlah jam bekerja pada suku ketiga tahun 2023 melonjak sebanyak 4.2% untuk mencatatkan sejumlah 9.42 bilion jam. Oleh itu, nilai ditambah per jam bekerja jatuh 0.9%, dengan nilai RM42.2 per jam (ST3 2022: RM42.6; ST2 2023: RM40.6), menunjukkan penurunan dalam kecekapan pasaran buruh.
Menurut Mohd Uzir, pasaran buruh Malaysia menunjukkan prospek yang memberangsangkan sepanjang suku ketiga tahun 2023, yang patut diberi perhatian di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata, menuju ke suku akhir 2023, prospek kekal optimistik, memandangkan Indeks Pelopor Malaysia yang terkini menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus menyederhana, disebabkan cabaran-cabaran itu, walaupun permintaan domestik yang kukuh.
Katanya, strategi dan inisiatif dalam Belanjawan 2024 sejajar dengan rangka kerja Ekonomi MADANI, yang bertujuan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi negara dan rakyat, dijangka memberi impak positif kepada ekosistem pasaran buruh dengan mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja, menaikkan upah dan mencipta peluang pekerjaan melalui pelaburan strategik.
"Oleh itu, prestasi keseluruhan pasaran buruh dijangka berkembang, dengan prospek pertumbuhan sederhana pada suku yang akan datang.
"Namun begitu, pandangan ini tertakluk kepada pelbagai cabaran global dan domestik yang mungkin muncul dari keadaan luar dijangka pada masa hadapan, serta kesan bencana banjir yang berkemungkinan akan berlaku berikutan jangkaan Musim Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia yang bermula pada awal November 2023 dan berterusan hingga Mac 2024," katanya. - DagangNews.com








