Tawaran diskaun saman trafik 50% sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Perak bermula 1 Julai hingga 3 Julai 2022 | DagangNews Skip to main content

Tawaran diskaun saman trafik 50% sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Perak bermula 1 Julai hingga 3 Julai 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 50% sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Litar Dato' Sagor, Pasir Salak, Perak, bermula 1 Julai hingga 3 Julai 2022.

 

AKM menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) turut menawarkan diskaun kompaun sejumlah 50% hingga 80% pada hari tersebut.

 

Menurutnya, tawaran diskaun melibatkan kesalahan terpilih di seluruh negara dan pembayaran hanya boleh dibuat di tapak acara.

 

"Jangan lepaskan peluang anda untuk membayar saman dengan penawaran diskaun diantara 50% hingga 80% bagi saman terpilih sempena Jelajah AKM yang berlangsung di Litar Dato' Sagor, Pasir Salak, Perak.

 

"Tawaran diskaun itu berlangsung selama 3 hari bermula 1 Julai sehingga 3 Julai 2022 dari pukul 9 pagi hingga 6 petang di Kaunter Bayaran Saman yang akan dibuka di tapak acara. Ayuh, jangan lepaskan peluang ini," katanya.

 

Dalam pada itu, AKM berkata, Program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia sempena penganjuran Jelajah AKM Perak menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor dan bidang.

 

Selain itu katanya, turut diadakan sukan rakyat, kenduri rakyat, permainan e-Sukan, gerai jualan usahawan, kaunter perkhidmatan pelbagai kementerian dan agensi, cabutan bertuah dan banyak lagi aktiviti serta program menarik menanti pengunjung. 

 

BERITA BERKAITAN: Pelbagai program sempena jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia untuk rakyat Perak pada 1 hingga 3 Julai 2022

 

Jelajah AKM merupakan kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat bagi memastikan masyarakat di semua peringkat dapat memahami serta menghayati konsepnya dengan lebih jelas, yang menitikberatkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. - DagangNews.com