Taraf saranan saham RCE Capital diturunkan kepada ‘pegang’ namun hasil dividen dijangka lebih 6% setahun – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taraf saranan saham RCE Capital diturunkan kepada ‘pegang’ namun hasil dividen dijangka lebih 6% setahun – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Hasil dividen RCE Capital Bhd dijangka lebih daripada 6% setahun memandangkan prospek pendapatannya stabil, di mana dividen sesaham (DPS) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sekurang-kurangnya 14 sen.

 

“Dengan peningkatan yang mengecil kurang 10% selepas kenaikan harga saham baru-baru ini, kami menurunkan taraf saham itu kepada ‘pegang’, di mana pelabur boleh memegangnya untuk hasil dividen yang stabil dan besar sebanyak lebih daripada 6% setahun,” kata Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan berkata ia mengekalkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) tetapi menaikkan anggaran DPS sebanyak 2sen setahun memandangkan nisbah pembayaran dividen (DPR) pada masa hadapan mungkin akan mencapai 75% atau 10 mata peratusan lebih daripada jangkaannya sebelum ini.

 

Walaupun firma itu menurunkan taraf saranan saham RCE Capital kepada ‘pegang’, harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM2.38 sesaham daripada RM2.07 memandangkan andaian DPS dinaikkan 15%.

 

Firma itu berkata RCE Capital menyatakan bahawa ia akan sekurang-kurangnya cuba mengekalkan DPS mutlak pada masa hadapan.

 

“Memandangkan prospek pendapatannya stabil, kami berpendapat bahawa ini menunjukkan DPS FY24 sekurang-kurangnya 14sen atau 75% DPR atau 10 mata peratusan lebih daripada yang kami jangkakan,” tambahnya.

 

Di samping itu, Maybank IB berkata pertumbuhan penghutang pembiayaan RCE Capital masih positif dengan mengunjurkan ia meningkat 4% dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24).

 

Jelasnya, penghutang pembiayaan pada FY23 meningkat 7.5% YoY, terpantas dalam lima tahun, didorong oleh pelarasan dan kenaikan gaji perkhidmatan awam.

 

Walaupun kerajaan menunjukkan lebih banyak pelarasan gaji dan kenaikan gaji pada masa hadapan, firma itu berkata RCE Capital masih menjangkakan pertumbuhan penghutang pembiayaan untuk mengekori pertumbuhan pinjaman sektor perbankan yang meningkat 4.8% YoY pada Mei tahun ini kerana permintaan telah berdaya tahan.

 

Selain itu, RCE Capital tidak bercadang untuk melaraskan kadar keuntungannya melainkan kadar dasar semalaman (OPR) meningkat melebihi 3%.

 

Kos kredit juga terus sederhana selepas gelombang perletakan jawatan penjawat awam pada tahun kewangan lalu dan secara keseluruhannya, perkara di atas adalah dalam jangkaan firma itu.

 

Pada waktu penulisan, saham RCE Capital susut 2 sen atau 0.9% kepada RM2.33, memberikan modal pasaran sebanyak RM1.7 bilion. - DagangNews.com