Taraf saranan Kossan dinaikkan kepada ‘beli’ disokong pemulihan permintaan, prestasi mantap purata harga jualan – RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taraf saranan Kossan dinaikkan kepada ‘beli’ disokong pemulihan permintaan, prestasi mantap purata harga jualan – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan - RHB Investment menaikkan taraf saranan Kossan Rubber Industries Bhd kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM2.20 sesaham daripada RM1.45 selepas data eksport yang teguh baru-baru ini menunjukkan pemulihan permintaan dan juga disebabkan oleh prestasi purata harga jualannya (ASP) mantap.

 

Ia meningkatkan unjuran pendapatan 2023 dan 2024 masing-masing kepada RM76 juta dan RM167 juta berbanding RM64 juta dan RM103 juta, dengan mengambil kira keterlihatan permintaan yang lebih baik dan peningkatan kadar penggunaan loji.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa eksport sarung tangan getah bulanan Malaysia menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) yang positif untuk dua bulan berturut-turut, dengan peningkatan 2% pada November 2023.

 

Firma itu berpendapat bahawa pertumbuhan tersebut menunjukkan peningkatan harga produk telah bermula dan campuran produk lebih baik pada November 2023 dan percaya keupayaan memulakan kenaikan harga akan berfungsi sebagai pemangkin penting untuk memacu keuntungan pada masa hadapan.

 

“Ia juga menunjukkan bahawa risiko daripada perang harga telah beransur-ansur hilang. Berdasarkan semakan saluran kami, pembuat sarung tangan getak Malaysia menjual pada harga AS$19-20 setiap 1,000 helai pada Disember 2023, sebahagian besarnya tidak berubah berbanding suku ketiga 2023 (3Q23).

 

“Walaupun pembuat sarung tangan Malaysia mengalami ASP yang lebih lemah pada 3Q23 (3% hingga 7% lebih rendah suku ke suku), kami berpendapat peningkatan nilai eksport boleh menyokong sasaran pengurusan serta jangkaan kami terhadap kestabilan trend ASP yang akan menjadi kenyataan pada 2024,” ulas RHB Investment dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata bekalan industri 2024 kini pada 376 bilion berbanding 373 bilion pada 2023, dengan mengambil kira 1 bilion dalam kapasiti baharu dari Thailand dan pelan peralihan kapasiti progresif Hartalega (beli, TP: RM3.25) (dianggarkan 3 bilion daripada Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Seterusnya atau NGC 1.5).

 

Firma itu menaikkan andaian permintaan 2024 kepada 397 bilion daripada 386 bilion sebelumnya, mencerminkan pertumbuhan 7% YoY (daripada 4% sebelumnya) berbanding pertumbuhan purata lima tahun sebelum pandemik sebanyak 14%.

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan industri akan mencapai tahap keseimbangannya menjelang separuh kedua 2024 kerana inventori pukal yang disimpan sejak 2020-2021 telah digunakan secara beransur-ansur dan menghampiri jangka hayatnya (biasanya tiga hingga lima tahun).

 

Setakat pukul 10:31 pagi ini, saham Kossan susut 2 sen atau 1.1% kepada RM1.88 dengan permodalan pasarannya bernilai RM4.8 bilion. - DagangNews.com